Kurator Berita : Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Syariah
Bangi, Selangor - 6 September 2022. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah (BPPPS) telah menganjurkan Konvensyen Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Peringkat Kebangsaan 2022 bertempat di Hotel Bangi Resort, Bangi, Selangor.

Konvensyen yang mengangkat tema “Penguatkuasaan Jitu, Pendakwa Padu” telah berjaya menghimpunkan sebahagian Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa-Pendakwa Syarie, di samping Ketua-Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Ketua-Ketua Pendakwa Syarie dari seluruh Negara. Tiga orang pembentang yang terdiri daripada wakil Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Jabatan Peguam Negara Malaysia telah berkongsi ilmu dan pengalaman mereka bersama dengan peserta Konvensyen.

YB Senator Datuk Hj. Idris bin Hj. Ahmad, selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah merasmikan Konvensyen Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Peringkat Kebangsaan 2022 tersebut. Turut hadir dalam Majlis Perasmian Konvensyen ialah YBhg. Datuk Hj. Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, YBhg. Dato’ Dr Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, YAA Datuk Setia Dr. Mohd Naim bin Mokhtar, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan YBhg. Tuan Ahmad Husaini bin Mustafa, Pengarah Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah, JAKIM.

YB Menteri dalam ucapan perasmian, telah mengesyorkan agar JAKIM dapat menyediakan garis panduan pemakaian pakaian seragam kepada Pegawai Penguat Kuasa Agama memandangkan pakaian seragam melambangkan identiti atau imej kepada Pegawai Penguat Kuasa Agama. YB Menteri turut mencadangkan agar pembiayaan pakaian seragam tersebut dibiayai oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri berdasarkan kuasa pelantikan Pegawai Penguat Kuasa Agama yang tertakluk kepada Majlis Agama Islam Negeri di seluruh Malaysia.

Prosedur Operasi Standard (SOP) Mengiringi Orang yang Ditangkap ke Mahkamah atau Tempat Tahanan juga turut dilancarkan dalam Konvensyen Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie Peringkat Kebangsaan 2022 tersebut.


Konvensyen Pendakwa Syarie Kebangsaan 2022 1

Konvensyen Pendakwa Syarie Kebangsaan 2022 2

Konvensyen Pendakwa Syarie Kebangsaan 2022 3

Konvensyen Pendakwa Syarie Kebangsaan 2022 4