Kurator Berita : Bahagian Keurusetiaan & Hubungan Luar
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) yang terdiri daripada Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri telah berbengkel di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada 28-30 Ogos 2022. Bengkel ini bertujuan untuk menyemak semula takrifan, kandungan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mana-mana terma agar bersesuaian dan relevan dengan situasi semasa terutamanya melibatkan aspek keselamatan negara yang telah diguna pakai sejak tahun 2016.

Memandangkan JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri adalah agensi kawal selia yang bertanggungjawab dan diberi amanah sejak tahun 1995 dalam mengeluarkan Surat Sokongan Pas Lawatan Ikhtisas JAKIM. Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) dikeluarkan kepada warga asing yang ingin bertugas dan menjalankan kerja-kerja khusus untuk jangka masa singkat di Malaysia. Pemberian kemudahan Pas ini dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merujuk kepada warga asing yang ingin berkhidmat sebagai guru agama Islam dan pelajar yang mengikuti pengajian agama Islam di Malaysia.

Bengkel ini telah dihadiri oleh para pegawai kumpulan pengurusan dan profesional (P&P) berjumlah seramai 24 orang yang mewakili negeri masing-masing. Pengarah Bahagian Keurusetiaan dan Hubungan Luar Encik Zahrollail bin Zainal telah menyempurnakan perasmian bengkel ini. Selain itu wakil panel semakan sijil JAKIM iaitu Ustaz Abdul Muhaimin bin Mahmood turut berkongsi pengalaman berkaitan penemuan sijil-sijil pengajian akademik yang dipalsukan oleh warga asing kepada PBAN.

Perubahan dan penambahbaikan SOP yang dicadangkan dalam bengkel ini adalah untuk kebaikan JAKIM dan PBAN bagi memperlihatkan keupayaan menjadi agensi kawal selia yang menjaga kedaulatan negara tanpa mengabaikan keperluan perkembangan dakwah Islam. Hasil perbincangan dan penambahbaikan SOP ini seterusnya akan dibincangkan dan dimurnikan dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam waktu terdekat.

Capai Kata Sepakat Antara JAKIM Dan PBAN SOP Ikhtisas 1

Capai Kata Sepakat Antara JAKIM Dan PBAN SOP Ikhtisas 2

Capai Kata Sepakat Antara JAKIM Dan PBAN SOP Ikhtisas 4