Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
LAHAD DATU | 15 September, Erti kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada penjajah semata-mata, ia juga merupakan kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang ingin melihat perpecahan dalam kalangan #KeluargaMalaysia yang berbilang kaum dan bersatu padu.

Selaras dengan agenda kerajaan, pelbagai program dan aktiviti dianjurkan termasuk ceramah keagamaan kerana ia mempunyai peranan yang sangat penting dalam membina negara dan bangsa Malaysia yang berdaulat serta menghayati erti kemerdekaan yang sebenar.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Institut Latihan Islam Malaysia Kampus Lahad Datu turut memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan ini dengan menganjurkan satu siri ceramah khas bertajuk ‘Jaga Agama, Jaga Negara, iaitu ceramah khas Merdeka dan Hari Malaysia di Dewan Tun Mustapha, Lahad Datu.

Matlamat utama penganjurannya adalah menyemai dan menanamkan sikap cintakan agama dan negara, selain memupuk dan menyemarakkan semangat patriotisme di dalam jiwa dan mewujudkan rasa kekitaan dan kerja berpasukan seterusnya mengeratkan perpaduan di semua peringkat.

Ceramah anjuran Unit Sains Dakwah dan Koperat, ILIM Kampus Lahad Datu ini telah disampaikan oleh YBrs. Ustaz Mutholaah bin Hair, Guru Besar SAR Desa Kencana Felda Wilayah Sahabat daerah Lahad Datu dan telah dihadiri oleh seramai 250 orang yang terdiri daripada warga ILIM LD, penjawat awam, guru-guru KAFA, imam rawatib, pelajar tahfiz dan masyarakat awam.

Majlis diserikan dengan persembahan lagu-lagu nasyid dan qasidah oleh kumpulan nasyid an-Nur yang dipimpin oleh Ustazah Hamidah Abdul Razak dan penyanyi nasyid solo Ustaz Julkiple Salali daripada artis Shoutul Iman.

Jaga Agama Jaga Negara 1

Sumber berita : https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/1105-jaga-agama-jaga-negara