Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
Tanjung Bidara: MELAKA: 30 Sept – 02 Okt 2022|: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Unit Rawatan Orang Kena Pengawasan (OKP) Dadah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti telah mengadakan Program Rakan Setia Komuniti Klien AADK Negeri Melaka di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara, Melaka mulai 30 September hingga 02 Oktober 2022 yang lalu. Penganjuran program pada kali ini telah mendapat kerjasama Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Negeri Melaka dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan.

Pelaksanaan program ini adalah bermatlamatkan untuk menyantuni dan memberi sokongan moral, motivasi serta bimbingan kerohanian kepada klien AADK Melaka yang sedang menjalani proses pemulihan dalam komuniti. Seramai 38 orang peserta klien AADK dari seluruh negeri Melaka telah hadir mengikuti program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini.

Pengisian program ini dilaksanakan secara interaktif antara fasilitator bersama klien bermula dengan slot “Kenali Diri”, “Potensi Dan Kekuatan Diri”, “Saya Dan Ibadah”, Qiamullail dan “Muhasabah Diri” yang dikendalikan oleh Ust. Muhamad Azki Hafizi. Slot perkongsian pengalaman hijrah pembimbing rakan sebaya AADK Melaka oleh Encik Muadzam Shah bin Samsudin dan slot terakhir “Rawatan Diri Melalui Ilaj Syarie” yang disampaikan oleh Ust. Halim Zakaria fasilitator KSKCareCentre JAKIM.

Kemuncak program ini adalah majlis perasmian program yang telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM. Turut hadir bersama pada majlis perasmian ini Tuan Wan Madihi bin Wan Salleh, Pengarah AADK Negeri Melaka, Ustazah Noor Haliza binti Ali, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM dan Puan Zuriah binti Abu Bakar, Setiausaha Kerja PEMADAM Kebangsaan.

Antara titipan pesanan Tuan Haji Ruslan Said kepada para klien AADK adalah;

"Peranan tuan-tuan adalah amat penting untuk mengubah diri sendiri, pedulikan orang yang memandang sinis pada kita, kita kena ikhtiar untuk pulihkan diri kita sendiri kerana kepulihan diri adalah datang dari diri sendiri. JAKIM memberikan tuan-tuan peluang untuk mengisi kehidupan beragama”.

Program Rakan Setia Komuniti AADK Melaka 1

Program Rakan Setia Komuniti AADK Melaka 2

Program Rakan Setia Komuniti AADK Melaka 3

Program Rakan Setia Komuniti AADK Melaka 4

Program Rakan Setia Komuniti AADK Melaka 5