Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah, Unit Komunikasi Korporat
PUTRAJAYA, 5 OKTOBER 2022 – Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK) Kali Ke-57 telah bersidang pada 5 Oktober 2022, bertempat di Dewan Syura A, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya.

JPPIK merupakan sebuah Jawatankuasa yang dahulunya dikenali sebagai Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) yang diwujudkan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Persidangan ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom, Pengerusi JPPIK yang baharu dengan dihadiri oleh ahli-ahli JPPIK yang dilantik oleh MKI dengan perkenan Majlis Raja-Raja dan dan ahli-ahli dari setiap negeri yang dilantik oleh Raja Pemerintah Negeri itu. Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, Majlis Agama Islam Negeri dan Yayasan Islam Negeri-Negeri. Mesyuarat turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM selaku Setiausaha JPPIK.

Penganjuran persidangan kali ini antara lain bertujuan untuk memperkasakan institusi pendidikan Islam khususnya Sekolah Tahfiz, Pondok dan Sekolah Pendidikan Islam Persendirian. Terdapat dua kertas cadangan dan dua kertas makluman dibentangkan dalam persidangan ini, antaranya adalah berkenaan Hala Tuju JPPIK untuk memperkasakan sistem pendidikan Islam secara seragam, tersusun dan berwibawa serta berupaya memberikan pendidikan terbaik dan berkualiti bagi melahirkan generasi khaira ummah.

Selain itu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) turut membentangkan kertas makluman mengenai pengalaman negeri dalam usaha untuk mengawal selia penubuhan institusi pendidikan Islam khususnya institusi tahfiz.

Penganjuran persidangan JPPIK kali ini telah mencapai beberapa resolusi yang perlu diberi perhatian dan tindakan sewajarnya oleh pihak-pihak yang berkepentingan mengenai pendidikan Islam. Antaranya ialah memastikan semua institusi pendidikan Islam berdaftar, menyediakan latihan pedagogi kepada Guru dan Latihan Pengurusan Organisasi kepada Mudir institusi pendidikan Islam dan menggalakkan pelajar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi menjamin kebolehpasaran pelajar khususnya lepasan tahfiz.

Penubuhan jawatankuasa ini diharapkan dapat memantapkan modal insan melalui peningkatan kualiti pendidikan Islam dan memperkasa tadbir urus institusi pendidikan Islam di Malaysia merangkumi institusi yang dikendalikan oleh pihak kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta institusi yang diuruskan sendiri oleh pihak swasta atau persendirian.

Persidangan JPPIK Kali Ke 57 1

Persidangan JPPIK Kali Ke 57 2

Persidangan JPPIK Kali Ke 57 3

Persidangan JPPIK Kali Ke 57 4

Disediakan oleh
Sekretariat
Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK)
Bahagian Dasar Kemajuan Islam
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
5 Oktober 2022