Kurator Berita : Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Syariah
Morib, 20 - 22 Februari 2023 – Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah (BPPPS) telah mengadakan Wacana Pakar Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah: Kajian Kes Semasa Kesalahan Jenayah Syariah yang disertai oleh 32 orang peserta dari kalangan Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama dan Ketua Pendakwa Syarie seluruh Malaysia.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM yang mewakili YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Naim bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Di dalam teks ucapan beliau yang dibacakan oleh YBhg. Dato’ Dr Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM telah menekankan konsep Islah dalam menjalankan tugas penguatkuasaan dan pendakwaan berdasarkan 6 prinsip MADANI yang digagaskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia.

Program yang berjalan selama 3 hari di Villea Morib, Banting ini telah dibimbing oleh dua orang pembentang iaitu YBhg. Dato’ Yusaini Amer bin Abdul Karim dan Tuan Wan Ariff Muzammil bin Wan Mohammed dari Jabatan Peguam Negara telah mengupas Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) secara terperinci khususnya darihal perbicaraan dan penghakiman di Mahkamah Syariah. Beliau turut berkongsi pengalaman berkaitan prosiding di mahkamah sivil sebagai perbandingan dan nilai tambah yang sesuai diaplikasikan di Mahkamah Syariah.

Wacana ini merupakan salah satu inisiatif JAKIM yang diadakan secara berkala untuk mempertingkat kemahiran profesionalisme para Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pendakwa Syarie dan menyelaras pelaksanaan undang-undang/ enakmen/ ordinan yang berkuatkuasa di negara ini.

Turut serta dalam wacana ini ialah YBrs. Tuan Ahmad Husaini bin Dato’ Mustafa, Pengarah BPPPS, JAKIM, serta pegawai – pegawai kanan dari Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah.

Secara keseluruhannya, ahli wacana telah memberikan komitmen melalui perbincangan secara menyeluruh dengan menyentuh pelbagai aspek kajian kes – kes semasa kesalahan jenayah syariah. Di penghujung program, ahli wacana telah memberi maklum balas yang positif serta berharap agar pihak penganjur dapat meneruskan program wacana ini pada masa hadapan.

Kajian Kes Semasa Kesalahan Jenayah Syariah 1

Kajian Kes Semasa Kesalahan Jenayah Syariah 2

Kajian Kes Semasa Kesalahan Jenayah Syariah 3