Kurator Berita : Darul Quran
3 Mac 2023- Darul Quran melalui Jabatan Pengajian Syariah, Seksyen Pengajian Ulum Islamiah telah mengadakan Seminar Pemantapan Fiqh Edisi Khas Puasa dari Perspektif Falak. Program yang bertempat di Auditorium Syeikh Mohd Noor Darul Quran ini mengetengahkan penceramah dari Universiti Malaysia Pahang, Dr. Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham, Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan. Program ini telah disertai oleh 250 orang peserta yang terdiri dalam kalangan pegawai serta para pelajar Darul Quran.

Penganjuran seminar ini adalah bertujuan menambah baik pemahaman tentang ilmu fiqh al-ibadah yang berpaksikan kepada al-Quran dan al-Sunnah di samping memberi pengalaman kepada para peserta berkaitan proses-proses dalam hukum ketetapan puasa menurut perspektif falak.

Program telah dirasmikan oleh Pengarah Darul Quran, Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim. Memetik ucapan perasmian tersebut, beliau berkata: “Program seperti ini wajar dilaksanakan kerana dapat memberi pendedahan awal tentang bidang falak syarie di samping memberi kefahaman berkaitan isu-isu semasa dunia astronomi”. Mengakhiri ucapan, beliau turut mencadangkan agar Kelab Falak Darul Quran dapat ditubuhkan selepas ini.

Turut hadir bersama pegawai dan kakitangan dari Bahagian Falak, Jabatan Mufti Negeri Selangor yang telah mengadakan pameran dan pencerapan.

DQ Anjur Seminar Puasa Dari Perspektif Falak