Kurator Berita : Darul Quran
7 Mac 2023 - Seramai 80 pengusaha dan mudir dari seluruh Negeri Kedah telah hadir ke sesi taklimat pengujian Sijil Tahfiz Malaysia (STM) bertempat di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar Kedah. Sesi taklimat ini dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dengan kerjasama Darul Quran JAKIM. Tujuan ia diadakan adalah untuk memberi perkongsian tentang pelaksanaan STM yang dianjurkan oleh Darul Quran dalam usaha memberi perakuan hafazan kepada individu-individu yang telah menghafaz 30 juzuk al-Quran khususnya kepada para huffaz Negeri Kedah.

Selain pengusaha dan mudir, taklimat ini turut disertai oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAIK, Sheikh Hasbullah bin Md Mukhtar, wakil pengurusan Darul Quran dan sebahagian calon serta waris-waris. Antara perkara yang disampaikan adalah berkenaan proses permohonan, kaedah pelaksanaan peperiksaan, bahan-bahan rujukan dan lain-lain lagi.

Semoga usaha dan kerjasama ini dapat membantu usaha kerajaan dalam memartabatkan para huffaz di Malaysia khususnya di Negeri Kedah. Di samping dapat menambahkan lagi penyertaan peserta untuk menduduki peperiksaan STM yang akan dianjurkan pada masa akan datang.

DQ Sampaikan Taklimat STM Kepada Para Huffaz Negeri Kedah