Kurator Berita : Bahagian Pendidikan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pendidikan Unit Perkhidmatan telah mengadakan Majlis Setuju Terima Pelantikan Semula Kontrak Penyelia Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sesi 2023/2025 pada 4 April 2023 bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi. Seramai 356 penyelia KAFA telah mendapat kelulusan Pelantikan Semula secara kontrak ke jawatan Pembantu Hal Ehwal Islam gred S19 daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bermula 01 April 2023 sehingga 31 Mac 2025.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Ruslan bin Said Timbalan Ketua Pengarah Operasi (TKPO) JAKIM. Di dalam amanat yang telah disampaikan oleh beliau merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua penyelia KAFA atas komitmen, kesetiaan dan kepercayaan yang telah diberikan kepada JAKIM selama 33 tahun program KAFA berjalan.

YBhg. TKPO juga turut mengingatkan pada semua bahwa rasa tanggungjawab dan patriotisme dalam melaksanakan tugas perlu sebati dalam diri kita sebagai penjawat awam dengan menjunjung ketaatan kepada negara, kewajipan menyimpan segala rahsia kerajaan dan menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara melebihi kepentingan peribadi.

Turut hadir Tuan Haji Ahmad Fuad bin Apandi, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan (TKPP), JAKIM dan Tuan Haji Hanifuddin bin Roslan Pengarah Bahagian Pendidikan JAKIM serta pegawai-pegawai daripada Agensi Pelaksana KAFA Negeri.

Antara pengisian di dalam majlis ini adalah Taklimat mengenai Pengurusan Dokumen Semula Penyelia KAFA yang telah disampaikan oleh Puan Putri Irhanan binti Sapeli, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sumber Manusia JAKIM. Di samping itu penerangan semula mengenai syarat dan kelayakan yang ada pada perkhidmatan Contract of Service (COS).

Diharapkan semua Penyelia KAFA yang melangkah ke sesi baharu 2023/2025 memperkukuhkan azam, memperteguh iltizam dan memantapkan ikhtiar untuk bersama-sama berubah dan mengubah perkhidmatan hal ehwal Islam kepada perkhidmatan yang dihormati, disegani, diteladani kerana kepantasan perkhidmatannya, integritinya dan profesionalisme.

356 Penyelia KAFA37

356 Penyelia KAFA
356 Penyelia KAFA2
356 Penyelia KAFA3
356 Penyelia KAFA5