Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
Pada 2 Mei 2023 telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Cek Cura Peruntukan Kerajaan Persekutuan Bagi Bayaran Elaun Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir dan Guru KAFA Negeri Selangor Tahun 2023 di Istana Alam Shah, Klang Selangor. Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkenan berangkat ke majlis tersebut yang jelas menzahirkan keprihatinan Baginda yang juga merupakan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) terhadap pengurusan hal ehwal Islam di negara ini, lebih-lebih lagi di negeri Selangor Darul Ehsan yang berada di bawah payung naungan Baginda.

YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam sembah ucapan beliau memaklumkan bahawa pada setiap tahun Kerajaan Persekutuan menyediakan sejumlah peruntukan bagi tujuan perkembangan syiar Islam di Malaysia merangkumi peruntukan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam. Untuk tahun 2023, sebanyak RM1.5 bilion telah diperuntukkan bagi tujuan tersebut melibatkan 11 agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Daripada keseluruhan RM1.5 bilion tersebut, sebanyak RM968,771,700.00 diperuntukkan kepada JAKIM merangkumi bajet pengurusan sebanyak RM915,282,400.00 dan bajet pembangunan berjumlah RM53,489,300.00. Bagi bajet pengurusan yang berjumlah RM915,282,400.00, sebanyak RM694.4 juta atau  75.87% diperuntukkan bagi bayaran elaun guru KAFA, guru takmir dan imam serta Biasiswa Skim Pembiayaan Hafiz, Dakwah Bil Hal dan lain-lain. 

Bagi Negeri Selangor, peruntukan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2023 berjumlah sebanyak RM56,412,369.60 yang disalurkan melalui JAKIM kepada Jabatan Agama Islam Selangor. Ia merangkumi peruntukan bagi bayaran imbuhan imam, elaun guru takmir, elaun guru KAFA, bayaran one-off sebanyak RM600.00 kepada imam, bilal dan siak, guru takmir dan guru KAFA serta caruman PERKESO sebanyak RM232.80 setahun kepada 2,482 orang imam, bilal, siak dan guru takmir.

Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Negeri Selangor,  Ahli Dewan Diraja Selangor dan Orang Besar Istana. Kemuncak majlis, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan menerima cek cura peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi bayaran elaun imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA Negeri Selangor tahun 2023 yang disampaikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.

Sesungguhnya agensi Islam di peringkat Persekutuan sentiasa berusaha dalam memastikan tadbir urus dan tata kelola pengurusan hal ehwal Islam di negara ini dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Ia sebagai menjunjung amanah yang dititahkan Majlis Raja-Raja dan Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu selaku Raja Pemerintah dan Ketua Agama Islam di negeri-negeri. Semoga usaha ini dapat dilaksana dengan jayanya hasil kerjasama erat bersama Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri demi kemaslahatan ummah seluruhnya.

Majlis Penyerahan Cek Cura Peruntukan Kerajaan Persekutuan Bagi Bayaran Elaun Imam Bilal Siak Guru Takmir 1

Majlis Penyerahan Cek Cura Peruntukan Kerajaan Persekutuan Bagi Bayaran Elaun Imam Bilal Siak Guru Takmir 2

Majlis Penyerahan Cek Cura Peruntukan Kerajaan Persekutuan Bagi Bayaran Elaun Imam Bilal Siak Guru Takmir 3

Majlis Penyerahan Cek Cura Peruntukan Kerajaan Persekutuan Bagi Bayaran Elaun Imam Bilal Siak Guru Takmir 4

Majlis Penyerahan Cek Cura Peruntukan Kerajaan Persekutuan Bagi Bayaran Elaun Imam Bilal Siak Guru Takmir 5