Kurator Berita : Bahagian Maqasid Syariah

Putrajaya, 4 Julai – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berbesar hati menerima kehadiran YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri ke Majlis Perasmian Peluncuran Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam. Buku terbitan semula secara bersama oleh JAKIM dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ini adalah merupakan buku terjemahan Haji Rivai Batubara daripada buku Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam, karya Sheikh Dr. Taha Jabir Fayyad al-Alwani (1935 – 2016).

Dalam ucapannya, YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa pemeliharaan adab atau etika dalam perbezaan pandangan penting dalam memastikan umat terus bergerak ke hadapan. Perselisihan pendapat tidak harus menjadi punca keretakan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat. Selain itu, beliau mengajak dan menyeru kepada generasi pada masa kini untuk tidak melupakan warisan ilmuan silam Islam sebagai panduan menjalani kehidupan pada masa kini dan akan datang.

Turut hadir ke majlis ini ialah YB Puan Fadhlina binti Sidek, Menteri Pendidikan; YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara; YBhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara; Ketua Setiausaha Kementerian-Kementerian, pegawai-pegawai kanan Persekutuan dan Negeri dan juga pemimpin agama bukan Islam. Majlis turut disemarakkan dengan kehadiran lebih 800 orang peserta dan jemputan.

Mendahului Majlis Perasmian tersebut adalah Forum Bicara MADANI Dalam Perbezaan Pendapat bertajuk Adab Perbezaan Pendapat dalam Pengukuhan Perpaduan Nasional. Forum membincangkan adab-adab dan nilai yang perlu dipelihara dalam komunikasi kerana ia memberi kesan kepada keutuhan perpaduan dalam kalangan rakyat yang beragama Islam dan juga berbilang agama serta budaya dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini.

Forum telah dijayakan oleh dua orang panel jemputan terkemuka iaitu Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan dan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur bin Manuty, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) serta dikemudi oleh moderator Tuan Haji Zakaria bin Othman, Ketua Unit Komunikasi Korporat JAKIM.

Pelihara Adab Perbezaan Pendapat Demi Pengukuhan Perpaduan 1

Pelihara Adab Perbezaan Pendapat Demi Pengukuhan Perpaduan 2

Pelihara Adab Perbezaan Pendapat Demi Pengukuhan Perpaduan 3

Pelihara Adab Perbezaan Pendapat Demi Pengukuhan Perpaduan 4

Pelihara Adab Perbezaan Pendapat Demi Pengukuhan Perpaduan 5

Pelihara Adab Perbezaan Pendapat Demi Pengukuhan Perpaduan 6

Pelihara Adab Perbezaan Pendapat Demi Pengukuhan Perpaduan 7

Pelihara Adab Perbezaan Pendapat Demi Pengukuhan Perpaduan 8