Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti

BANGI , 14-16 JULAI 2023 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti telah mengadakan Kursus Asas Kecemasan Persekitaran kepada Sukarelawan Sosial Islam bertujuan untuk memberi pendedahan berkenaan asas-asas dan kemahiran pengurusan kecemasan persekitaran dan bencana di samping melahirkan barisan Sukarelawan Sosial Islam yang berkualiti, berpengetahuan dan berkemahiran di lapangan.

Kursus bersiri ini merupakan rentetan daripada Kursus Asas Bimbingan dan Kaunseling yang telah dijalankan sebelum ini. Kursus selama tiga hari ini bermula 14 – 16 Julai 2023 ini dimulakan dengan Slot Bantuan Asas Psikologi yang disampaikan oleh Puan Maizatul Akmal binti Baharudin dari Jabatan Pembangunan Wanita, seterusnya slot diteruskan dengan Asas Pertolongan Cemas, Asas Menyelamat dan Kemahiran Intervensi Krisis oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia kepada 40 orang Sukarelawan Sosial Islam yang terdiri daripada para sukarelawan dan mahasiswa/siswi Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP dan Kolej Profesional BaitulMal Kuala Lumpur.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Noor Haliza binti Ali, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM diiringi YBrs. Lt. (PA) Zulkefli bin Mohd Sapian dan YBrs. Lt. Mohd Hafiz bin Rahim daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Wilayah Persekutuan.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta yang telah menyertai kursus ini dengan jayanya. Semoga kursus kemahiran seperti ini dilaksanakan secara berkala dalam mempersiapkan para sukarelawan dengan ilmu, kemahiran dan kepakaran apabila di lapangan.

Kursus Kemahiran Asas Kecemasan Persekitaran Sukarelawan Sosial Islam 1

Kursus Kemahiran Asas Kecemasan Persekitaran Sukarelawan Sosial Islam 2

Kursus Kemahiran Asas Kecemasan Persekitaran Sukarelawan Sosial Islam 3

Kursus Kemahiran Asas Kecemasan Persekitaran Sukarelawan Sosial Islam 4

Kursus Kemahiran Asas Kecemasan Persekitaran Sukarelawan Sosial Islam 5

Kursus Kemahiran Asas Kecemasan Persekitaran Sukarelawan Sosial Islam 6