Kurator Berita : Bahagian Penerbitan

Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Penerbitan Islam Kali Pertama Tahun 2023 1

04 Ogos 2023 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Penerbitan telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Penerbitan Islam (JPPI) Kali Pertama Tahun 2023 di Bilik Mesyuarat Menteri, Aras 9, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd. Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM dan dihadiri oleh 36 ahli mewakili agensi-agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama (HEA)) termasuk urus setia.

Mesyuarat ini merupakan platform sulung yang mempertemukan 14 buah agensi di bawah YB Menteri di JPM (HEA) untuk memperkemas dan menyelaras tadbir urus berkaitan penerbitan, percetakan, promosi dan pengkomersialan/ jualan buku-buku dan bahan-bahan berunsur Islam di Malaysia. Ia menjadi medan untuk menyediakan input bagi merangka, menentukan, mengimbangi dan memadankan program/ aktiviti untuk merancakkan lagi penerbitan bahan-bahan berunsur Islam yang berwibawa, segar dan memenuhi keperluan khalayak. Hal ini seiring dengan kemajuan teknologi semasa yang menuntut golongan penerbit untuk lebih ligat berkreativiti dan berinovasi melalui karya masing-masing namun masih tetap memelihara nilai-nilai agama, patuh syariah di samping kesantunan adat serta adab masyarakat nusantara dalam karya-karya yang dihasilkan.

Penubuhan JPPI merupakan inisiatif baharu bagi mewujudkan rangkaian kerjasama strategik antara agensi dalam bidang penerbitan bahan-bahan berunsur Islam selaras dengan Kerangka Dasar MADANI yang memfokuskan enam (6) tonggak dasar membangun Malaysia iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan. Inisiatif ini turut ditekankan sebagai Teras 1, Fokus 2 dalam Pelan Transformasi Al-Falah – Pemantapan Penyelidikan Islam dan Persuratan Islam bagi Mewujudkan Pentadbiran Mampan di samping menjadi antara Naratif Khas YB Menteri di JPM (HEA) yang berhasrat untuk menyemarakkan pendekatan musyawarah dan memperkemaskan penyelarasan hal ehwal Islam dalam tadbir urus semasa.

Mesyuarat dimulakan dengan perutusan pengerusi diikuti dengan taklimat mengenai Terma Rujukan JPPI seterusnya pembentangan empat (4) kertas cadangan oleh urus setia di Bahagian Penerbitan JAKIM yang menyentuh perkara-perkara berkaitan hala tuju penerbitan Islam negara, penganjuran Pesta Buku Islamik 2024, Penyertaan Bersama dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL24) dan penganjuran Konvensyen Penerbitan Bahan-Bahan Berunsur Islam Peringkat Kebangsaan 2024.

Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Penerbitan Islam Kali Pertama Tahun 2023 2

Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Penerbitan Islam Kali Pertama Tahun 2023 3

Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Penerbitan Islam Kali Pertama Tahun 2023 4

Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Penerbitan Islam Kali Pertama Tahun 2023 5

Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Penerbitan Islam Kali Pertama Tahun 2023 6

Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Penerbitan Islam Kali Pertama Tahun 2023 7