Kurator Berita : Unit Komunikasi Korporat

         Sidang Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-70 yang dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berlangsung dengan jayanya pada tanggal 28 Ogos 2023 bersamaan 11 Safar 1443H di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam Selangor.

         Mesyuarat MKI pada kali ini merupakan mesyuarat kali kedua yang dipengerusikan oleh Baginda selepas Mesyuarat MKI kali ke-69 pada 6 Mac 2023, selaras dengan pemakaian Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022 yang telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-258 pada 9 dan 10 Mac 2022. Menerusi titah perutusan Pengerusi MKI, Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah menyentuh beberapa isu penting antaranya berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia, isu kompetensi Dewan Undangan Negeri-negeri untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidangkuasa mahkamah-mahkamah Syariah dan pemerkasaan pengurusan halal di Malaysia.

         Sebagaimana fungsi yang digariskan dalam Peraturan-Peraturan MKI 2022, mesyuarat pada kali ini telah membincangkan perkara-perkara penting yang merangkumi aspek perundangan Islam, pengurusan hal ehwal Islam dan pendidikan agama Islam dengan sebanyak dua kertas cadangan serta lima kertas makluman telah dibentangkan. Keputusan yang dicapai oleh MKI ini akan diangkat untuk disembah perkenan serta disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja pada mesyuaratnya yang akan datang.

         Pada Mesyuarat MKI kali ini juga, Baginda menzahirkan harapan agar negeri-negeri yang masih belum menganggotai MKI dapat menyahut pelawaan dan menganggotai platform musyawarah MKI secara rasmi. Ini kerana MKI merupakan sebuah institusi yang mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, bukan sahaja dari segi penubuhan, malah dari segi keahliannya.

         Mesyuarat MKI kali ke-70 turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia selaku Timbalan Pengerusi MKI, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff Ketua Pengarah JAKIM yang juga merupakan Setiausaha MKI, ahli-ahli MKI yang mewakili negeri-negeri seluruh Malaysia, ahli-ahli ex-officio serta ahli-ahli yang dilantik. Semoga MKI terus berperanan sebagai platform penting menasihati Majlis Raja-Raja dengan suatu pengesyoran yang signifikan, betul, tepat dan bermanfaat jangka panjang, demi kelestarian Islam sebagai agama persekutuan, keutuhan negara dan rakyat keseluruhannya.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke 70 1

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke 70 2

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke 70 3

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke 70 4

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke 70 5

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke 70 6

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke 70 7

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke 70 8

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke 70 9

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke 70 10