Kurator Berita : Bahagian Penerbitan
Ekspo Buku Jakim Kali Pertama Merentasi Negara Serantau1

26 September - 1 Oktober 2023 (Khamis - Rabu)
– Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Penerbitan telah diundang menyertai ekspo buku bagi mewakili Malaysia bersama 19 agensi lain sempena Pesta Buku Antarabangsa Indonesia Tahun 2023 atau lebih dikenali sebagai Indonesia International Book Fair 2023 (IIBF2023) di Indonesia Convention Exhibition (ICE), BSD City, Banten, Inonesia. Program ini diselaraskan oleh Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) dan disertai oleh agensi-agensi yang terdiri dari kalangan penerbit buku dan perbadanan perpustakaan awam negeri-negeri di Malaysia. Secara keseluruhannya, IIBF pada kali ini telah disertai oleh 11 buah negara iaitu Malaysia, China, Perancis, India, Indonesia, Korea, Singapura, Thailand, Turkiye, United Kingdom, Zimbabwe dan Korea sebagai negara tamu.

Program ini merupakan acara tahunan seperti mana penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) namun, matlamat dan objektifnya sedikit berbeza. Selain aktiviti-aktiviti berbentuk promosi dan komersial, IIBF turut membuka ruang yang luas kepada aktiviti “copyrights promotion and transaction – networking activities through one-on one matchmakings among publishing colleagues worldwide”.

Penyertaan pada kali ini merupakan platform sulung bagi buku-buku terbitan JAKIM berada di pentas negara serantau dan antarabangsa. Fokus penyertaan Malaysia adalah untuk meneroka peluang kerjasama penerbitan buku yang lebih luas antara negara-negara terlibat dalam pelbagai aspek seperti pertukaran hak cipta penerbitan, pengedaran buku di samping perkongsian pengalaman penerbitan pelbagai judul serta genre buku yang diperlukan antara satu sama lain. Pelbagai acara telah disusun bagi menyempurnakan penyertaan delegasi Malaysia termasuklah acara perasmian pembukaan IIBF, perasmian Pavilion Malaysia oleh YAB Menteri Besar Selangor, Kunjung Hormat ke Perpustakaan Nasional Indonesia, Perpustakaan Provinsi DKI Jakarta, Majlis Pelancaran Buku, Wawancara Sofa Putih Nusantara Malaysia – Indonesia dan Lawatan Kerja Luar ke Kompas Gramedia Group.

Sebagai hasil penyertaan pada kali ini, 5 judul buku terbitan JAKIM telah berjaya menarik perhatian penerbit di Indonesia untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam industri perbukuan melibatkan perniagaan dalam aspek penterjemahan, pertukaran hak cipta, promosi, komersial dan pengedaran buku antara Malaysia dan Indonesia. Kitab-kitab tersebut antaranya Kitab Tafsir Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran Versi Bahasa Mandarin – 30 Juzuk, Kitab Tafsir Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran Versi Bahasa Tamil – Juzuk 30, Ensiklopedia Ulama Zaman Sahabat, Tabiín dan Atba’ Tabi’in (Jilid 1 – 14), Ensiklopedia Fiqh Orang Kelainan Upaya (OKU) serta Buku Israílliyat dan Hadith Palsu Dalam Kitab-Kitab Tafsir. Walau bagaimanapun, perbincangan lanjut mengenai perincian yang melibatkan perjanjian dan persetujuan kedua-dua belah pihak perlu diselaras lanjut oleh JAKIM dengan kerjasama ITBM.

Sebelum pulang ke Malaysia, buku-buku terbitan JAKIM turut diserahkan kepada Bahagian Agama Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia untuk pameran berterusan di Pejabat Pegawai Atase JAKIM, Perpustakaan Provinsi DKI Jakarta untuk mewujudkan Malaysia Corner dan di Malaysia Hall untuk rujukan awam di Indonesia.

Selain dapat menyebarluaskan lagi dakwah dan manfaat daripada tugas-tugas penyelidikan, penulisan dan penerbitan buku-buku yang telah dilaksanakan oleh JAKIM sejak tahun 1980-an, program seumpama ini adalah medan untuk meningkatkan kualiti bahan-bahan terbitan agar selaras dengan penerimaan masyarakat atau mad’u yang lebih luas di peringkat antarabangsa di samping dapat menyumbang pulangan hasil wajar dan keuntungan kepada negara dalam industri perdagangan perbukuan. Suatu yang lebih utama, inisiatif ini akan membantu menyemarakkan lagi budaya ilmu melalui aktiviti membaca sesuai dengan wahyu pertama yang diturunkan kepada manusia seperti mana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah al-Álaq, ayat 1 – 5 yang bermaksud:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya...”.
 
Penerokaan pada kali ini telah merintis jalan kepada JAKIM untuk lebih giat mempromosi buku-buku ke persada antarabangsa melalui penyertaan yang lebih aktif pada masa akan datang dalam ekspo buku anjuran negara luar seperti Pesta Buku Islamik Indonesia, Pesta Buku Frankfurt Jerman, Sharjah International Book Fair (SIBF) United Arab Emirattes, Pesta Buku Istanbul Turkiye, Pesta Buku Brunei Darussalam dan lain-lain. Semoga manfaat yang terkandung dalam buku-buku terbitan JAKIM dapat dikembalikan kepada masyarakat sesuai dengan objektif penubuhannya untuk memastikan ajaran Islam tersebur luas kepada masyarakat. #DaripadaTintaMembentukJiwa.

Ekspo Buku Jakim Kali Pertama Merentasi Negara Serantau 2

Ekspo Buku Jakim Kali Pertama Merentasi Negara Serantau 3

Ekspo Buku Jakim Kali Pertama Merentasi Negara Serantau 4

Ekspo Buku Jakim Kali Pertama Merentasi Negara Serantau 5

Ekspo Buku Jakim Kali Pertama Merentasi Negara Serantau 6

Ekspo Buku Jakim Kali Pertama Merentasi Negara Serantau 7

Ekspo Buku Jakim Kali Pertama Merentasi Negara Serantau 8

Ekspo Buku Jakim Kali Pertama Merentasi Negara Serantau 9

Ekspo Buku Jakim Kali Pertama Merentasi Negara Serantau 10