Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
8 Disember 2023 - Penutup tirai sesi libat urus JAKIM berkenaan cadangan penyelarasan Program KAFA kali ini bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato' Mohd Zaidi bin Ramli, Pengarah JHEAINS dan delegasi JAKIM diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Fadzil bin Abu Kasim, Pengarah Bahagian Pendidikan, JAKIM dengan diiringi oleh para pegawai daripada Bahagian Dasar Kemajuan Islam dan Bahagian Pendidikan  JAKIM. Turut hadir pegawai Bahagian Pendidikan, JHEAINS, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS).

Sesi libat urus ini telah berhasil mendapatkan pandangan pihak negeri berkaitan cadangan penyelarasan Program KAFA. Hasil perbincangan yang singkat namun padat ini telah memberikan beberapa cadangan rantaian ke hadapan (way forward) pihak negeri untuk direalisasikan ke arah transformasi persekolahan KAFA kepada 5 hari seminggu dan peningkatan jumlah jam bekerja Guru KAFA serta kesesuaian premis yang membolehkan keberadaan guru bertugas.

Pada sebelah petang, selaras dengan objektif sesi libat urus untuk melihat pengoperasian KAFA di negeri, delegasi JAKIM diiringi Encik Abdul Rahim bin Ma'amor, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pendidikan JHEAINS dan pegawai Bahagian Pendidikan  bersama Penyelia KAFA telah berpeluang mengadakan lawatan mahabbah ke premis KAFA yang melaksanakan sesi persekolahan 5 hari di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Gedung Lalang 162. Sekolah ini ditadbir oleh Ustazah Siti Fatimah binti Kasijan selaku Guru Penyelaras dan seramai 5 orang Guru KAFA dengan 161 orang murid Tahun 1 - Tahun 6.

Ringkasnya, setelah melaksanakan sesi libat urus dengan 4 buah negeri pada tahun ini, JAKIM optimis bahawa inisiatif ke arah pemerkasaan Program KAFA secara berperingkat dijangkakan akan terlaksana pada tahun 2026 sebagaimana yang dirancang di bawah Strategi 1: Memperkukuh institusi pendidikan Al-Quran dan Fardu Ain, Teras 5, Program KAFA bagi Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (AL-FALAH). Perancangan ini hanya dapat direalisasikan secara kolaboratif dengan sokongan padu pihak negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia kerana sesungguhnya program ini masih relevan dan sememangnya mendapat sambutan positif dalam kalangan masyarakat sehingga kini.

PROGRAM KELAS AL QURAN 1

PROGRAM KELAS AL QURAN 2

PROGRAM KELAS AL QURAN 3

PROGRAM KELAS AL QURAN 4

PROGRAM KELAS AL QURAN 5