Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
KUCHING, SARAWAK, 25 APRIL 2024 Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-60 telah bersidang pada 25 April 2024, bertempat di Hotel Hilton, Kuching, Sarawak anjuran bersama di antara JAKIM dan Majlis Islam Sarawak serta Jabatan Agama Islam Sarawak.

Persidangan ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Dato' Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom, Pengerusi JPPIK MKI dihadiri oleh ahli-ahli JPPIK yang dilantik oleh MKI dengan perkenan Majlis Raja-Raja dan dan ahli-ahli dari setiap negeri yang dilantik oleh Raja Pemerintah Negeri itu. Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, Majlis Agama Islam Negeri dan Yayasan Islam Negeri. Persidangan ini turut dihadiri oleh YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM merangkap Setiausaha JPPIK MKI. Hadir bersama adalah YBrs. Dr. Haji Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi).

Dalam ucapannya, YBhg. Tan Sri Pengerusi berhasrat untuk memberi perhatian kepada Institusi Pendidikan Islam (IPI) antaranya institusi pendidikan tahfiz dan pondok yang berdaftar serta sekolah agama bagi memastikan lepasan pelajar tahfiz terutamanya, mempunyai hala tuju yang lebih jelas dalam laluan pendidikan dan laluan kerjaya. Justeru, kolaboratif strategik antara institusi tahfiz, institusi TVET dan juga institusi pendidikan perlu diperkasa agar pelajar lepasan institusi pendidikan tahfiz dapat menikmati peluang yang sama dengan pelajar pendidikan arus perdana selepas menamatkan pengajian.

Sebanyak enam kertas cadangan dan makluman telah dibentangkan sepanjang persidangan kali ini yang terdiri daripada pelbagai agensi antaranya ialah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (PERMATA) dan Darul Quran, JAKIM.

Sempena persidangan kali ini, turut diadakan program Lawatan Mahabbah ke Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Yakub (MATTARY) yang merupakan salah sebuah Institusi Pendidikan Islam (IPI) di bawah kelolaan Majlis Islam Sarawak dan mendapat bantuan awal persekolahan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Penganjuran Persidangan JPPIK MKI kali ini berupaya mengeratkan jalinan ukhuwah dan sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan negeri melalui penyelarasan JAKIM dalam usaha meningkatkan kualiti serta memartabatkan Institusi Pendidikan Islam di negara ini.


Disediakan oleh,
Sekretariat
Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK)
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI)
Bahagian Dasar Kemajuan Islam
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

JAWATANKUASA PENYELARASAN PENDIDIKAN ISLAM KEBANGSAAN MKI KALI KE 60 01

JAWATANKUASA PENYELARASAN PENDIDIKAN ISLAM KEBANGSAAN MKI KALI KE 60 02

JAWATANKUASA PENYELARASAN PENDIDIKAN ISLAM KEBANGSAAN MKI KALI KE 60 03

JAWATANKUASA PENYELARASAN PENDIDIKAN ISLAM KEBANGSAAN MKI KALI KE 60 04

JAWATANKUASA PENYELARASAN PENDIDIKAN ISLAM KEBANGSAAN MKI KALI KE 60 05

JAWATANKUASA PENYELARASAN PENDIDIKAN ISLAM KEBANGSAAN MKI KALI KE 60 06