Judul: Tadabbur Kalamullah 18 Syawal 1441H - Belanjakanlah Hartamu di Jalan Allah
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 18 SYAWAL 1441H
BELANJAKANLAH HARTAMU DI JALAN ALLAH
 
 
ٱلۡمَالُ وَٱلۡبَنُونَ زِینَةُ ٱلۡحَیَوٰةِ ٱلدُّنۡیَاۖ وَٱلۡبَـٰقِیَـٰتُ ٱلصَّـٰلِحَـٰتُ خَیۡرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابࣰا وَخَیۡرٌ أَمَلࣰا
"Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan".[Surah al-Kahfi 46]
 
Harta merupakan perhiasan dunia yang Allah SWT jadikan sebagai salah satu ujian keimanan/cubaan bagi manusia. Manusia dikurniakan oleh Allah SWT harta benda adalah sebagai titipan dan amanah yang harus dipergunakan sebagaimana yang telah ditetapkan. Harta bukanlah tujuan, namun tidak lebih hanya sebagai salah satu wasilah dan bekal untuk beribadah kepada Allah SWT.
 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلا أَوْلادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ
”Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah...".
[Surah al-Munafiqun 9]
 
Tatkala hampir kiamat bumi akan melimpahkan harta dengan sebanyak-banyaknya, semua orang memiliki harta yang melimpah ruah sehingga tiada tempat untuk disalurkan zakat dan sedekah. Hal ini disebutkan oleh baginda Rasulullah saw:
 
لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَكْثُرَ فِيْكُمُ الْمَالُ، فَيَفِيضَ حَتَّى يُهِمَّ رَبَّ الْمَالِ مَنْ يَقْبَلُهُ مِنْهُ صَدَقَةً وَيُدْعَى إِلَيْهِ الرَّجُلُ فَيَقُولُ: لاَ أَرَبَ لِي فِيهِ
“Tidak akan tiba hari Kiamat sehingga harta menjadi banyak pada kamu, harta itu terus melimpah ruah sehingga membingungkan pemiliknya siapakah yang mahu menerima sedekah darinya. Lalu seseorang dipanggil, kemudian dia berkata, ‘Aku tidak memerlukannya".
(HR al-Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a, Nabi saw bersabda:
 
لَيَأْتِيَنَّ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ يَطُوفُ الرَّجُلُ فِيهِ بِالصَّدَقَةِ مِنَ الذَّهَبِ، ثُمَّ لاَ يَجِدُ أَحَدًا يَأْخُذُهَا مِنْهُ
“Sungguh akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang berjalan mengelilingi dengan membawa harta sedekah berupa emas, kemudian dia tidak mendapati seorang pun yang mahu menerimanya darinya".
(HR al-Bukhari dan Muslim)
 
Untuk makluman, harta pernah menjadi melimpah ruah pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz, sehinggalah ada yang ditawarkan harta sedekah tetapi tidak didapati orang yang mahu menerimanya. Namun begitu, pendapat yang paling hampir berkenaan perkara ini adalah ia akan berlaku pada zaman al-Mahdi dan Nabi Isa Alaihissalam. Wallahua'lam!!
 
Oleh yang demikian, pastikan harta yang ada ditangan kita sekarang sama ada sikit atau banyak digunakan di jalan Allah SWT. Burulah ganjaran akhirat melalui harta yang ada dan tidak perlu tunggu harta melimpah ruah baru ingin bersedekah kerana dibimbangi sudah terlambat. Burulah pahala melimpah ruah seberapa segera tanpa perlu ditangguh-tangguh.
 
ءَامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَأَنفِقُوا۟ مِمَّا جَعَلَكُم مُّسۡتَخۡلَفِینَ فِیهِۖ فَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمۡ وَأَنفَقُوا۟ لَهُمۡ أَجۡرࣱ كَبِیرࣱ
"Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar".
[Surah al-Hadid 7]
 
Harta merupakan perhiasan dunia. Maka hiasilah dunia ini dengan kebajikan agar terhias indah akhirat kita dengan ganjaran pahala yang melimpah ruah. Semoga kita dapat memasuki Syurga melalui pintu sedekah (harta). Aamiiin.