Kurator Berita : Bahagian Dakwah
"SEGMEN 30 MINIT BERSAMA SEKRETARIAT DAKWAH KORPORAT JAKIM" DI RADIO SALAMFM
 
Slot "30 Minit Bersama Sekretariat Dakwah Korporat Jakim" di Radio SalamFM merupakan salah satu segmen inisiatif rintis di bawah Sekretariat Dakwah Korporat Jakim (SDK Jakim) dengan kerjasama pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM), Angkasapuri, Kuala Lumpur. Segmen ini diadakan melalui persetujuan ahli Mesyuarat SDK Jakim Bil. 7/ 2015 yang diadakan pada 9 Julai 2015 di Dewan Besar Lembaga Tabung Haji (TH), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Ditetapkan secara bersiri dengan kekerapan bersiaran secara langsung secara bulanan, segmen ini ke udara setiap hari Selasa (minggu kedua) bermula pada jam 11.30 malam - 12.00 malam dengan dihadiri oleh panel-panel jemputan secara bergilir daripada 20 buah syarikat korporat yang menjadi anggota SDK Jakim.
 
Pengisian segmen telah ditentukan oleh pihak Urus setia SDK Jakim yang menyentuh lima (5) aspek  iaitu pengenalan syarikat, peranan syarikat dalam konteks pembangunan dakwah dan Islam, pandangan kritis panel terhadap usaha gerak kerja dakwah Jakim kepada sektor korporat Malaysia melalui penubuhan SDK Jakim, sudut pandang panel dalam konteks melihat sejauh mana SDK Jakim boleh berperanan secara lebih proaktif dan efektif mendepani cabaran dakwah semasa dan memberi ruang promosi kepada setiap syarikat untuk mewar-warkan program dan aktiviti semasa syarikat.
 
Siri pertama segmen ini telah dijayakan pada 11 Ogos 2015 oleh panel jemputan, YBhg. Encik Mohd. Hanafiah bin Mohd. Nawawi, Penolong Naib Presiden, Jabatan Projek Khas, Bank Rakyat, Kuala Lumpur. Memetik pandangan panel secara lebih terperinci, berikut merupakan transkrip perbincangan yang telah dirakam semasa segmen berlangsung :
 
"Terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana bersama dalam SDK Jakim ini, Bank Rakyat juga diberi peluang terlibat sebagai salah satu institusi yang (bertanggungjawab) meneruskan kesinambungan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Bank Rakyat ini seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sekalian sedia maklum telah ditubuhkan pada 28 September 1951 (61 tahun), sebelum merdeka lagi".
 
Sepanjang usia tersebut, Bank Rakyat tidak ketinggalan dalam konteks melaksanakan dakwah dengan cara tersendiri samada secara langsung mahupun tidak langsung sebagai contoh mempromosi dan melaksanakan sistem perbankan Islam, membudayakan sistem pengurusan dan pentadbiran kerja berasaskan sistem pengurusan Islam dan sebagainya. Panel akhirnya menyimpulkan satu konklusi seperti mana berikut :
 
"...khidmat dakwah tidak akan dapat berlangsung dengan baik seandainya tiada sokongan daripada semua pihak. Kadang-kadang kita tengok bila nak melaksanakan aktiviti dakwah, orang tertentu sahaja yang melakukannya. Saidina Ali R.A. pernah menyebut, dunia ini akan menjadi dengan lebih sempurna dengan gabungan 4 perkara/ kelompok :
  1. Keadilan para pemimpin ;
  2. Ilmu para ulama' (cendekiawan, pakar-pakar) ; yang perlu digabungkan sekali dan juga
  3. Orang-orang kaya yang pemurah. Di sinilah peranan sahabat-sahabat korporat boleh membantu mengembangkan dakwah kerana mungkin pada mereka kurang berkepakaran dalam bidang agama, mungkin mereka tiada keupayaan untuk menjadi pemimpin tetapi mereka sebenarnya boleh memberi sumbangan kekayaan yang ada untuk menyebarkan dakwah ;
  4. 'Da'watulFuqara'. Kita juga memerlukan doa daripada fakir miskin dan seumpamanya. Bagaimana fakir miskin hendak mendoakan kita seandainya kekayaan yang ada hari ini tidak disalurkan untuk mereka (golongan memerlukan). Oleh itu, program Corporate Social Responsibility (CSR), sumbangan zakat, bantuan kepada mangsa banjir, kebakaran dan sebagainya, Hal ini merupakan sebahagian daripada khidmat dakwah yang dilakukan oleh golongan korporat. Secara tidak langsung, sebuah syarikat korporat menderma, syarikat-syarikat korporat lain juga akan mengikut jejak langkah tersebut walaupun pada awalnya ia seperti satu bentuk aktiviti 'marketing'. Lebih jauh dari itu, mereka ada rasa kemanusiaan, kasih sayang, bertimbang rasa."
Segmen 30Minit Bersama SDK Jakim Radio SalamFM 1
Konti AsyikFM, Wisma Radio, Angkasapuri, Kuala Lumpur bersama panel jemputan daripada Bank Rakyat
 
Siri kedua segmen pula telah dijayakan pada 8 September 2015 oleh panel jemputan YBhg. Encik Omar bin Mohamad, Penolong Pengurus Besar Bahagian Shariah, Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB), Kuala Lumpur merangkap wakil tetap STMB. Beliau menjelaskan peranan STMB mendokong usaha dakwah di peringkat syarikat seperti mana berikut :
 
"Sebagaimana sedia maklum, setiap syarikat mempunyai badan kebajikan/ badan dakwah tersendiri. Begitu juga Takaful Malaysia. kami namakannya 'Usrah' yang memainkan peranan penting untuk merencanakan aktiviti dakwah serta mengajar ilmu, tazkirah dan seumpamanya".
 
Segmen 30Minit Bersama SDK Jakim Radio SalamFM 2
Konti AsyikFM, Wisma Radio, Angkasapuri, Kuala Lumpur bersama panel jemputan daripada STMB
 
Beliau turut menjelaskan mengenai kepentingan rangkaian kerjasama yang telah wujud antara Jakim dengan syarikat-syarikat korporat ini sebagai satu inisiatif yang baik dalam mempromosi sunnah Rasulullah SAW melalui aspek 'amal jama'ie'. Setiap syarikat anggota mempunyai kelebihan dan kepakaran masing-masing yang boleh digabung jalin dan dimanfaatkan untuk membina kekuatan secara bersama demi kelangsungan Islam di Malaysia. Kesatuan SDK Jakim ini perlu terus dijaga dan diperkukuhkan kedudukannya dari semasa ke semasa. Pengurusan aspek perancangan yang sistematik dan berkesan di samping terus saling membantu dan melengkapi antara anggota merupakan pemangkin kepada pencapaian matlamat dan objektif penubuhannya seperti mana yang dihasratkan melalui tema "Makmur Dakwah Bersama Korporat".
 
Manakala, siri ketiga segmen ini telah dijayakan pada 13 Oktober 2015 oleh panel jemputan daripada Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB), YBhg. Tuan Haji Che Mazlan bin Che Yusof dari Jabatan Dakwah, Wakaf dan Zakat, BMMB, Kuala Lumpur. Menurut beliau, di samping menjana keuntungan melalui aktiviti perniagaan, BMMB tidak terkecuali melaksanakan tanggungjawab dalam hal-hal kebajikan dan kemanusiaan bagi membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira sempadan. Begitu juga dalam aspek BMMB menguruskan tabung kebajikan (Tabung Mawaddah) dan pengurusan Wakaf Tunai.
 
Sebagai kesimpulan, segmen ini telah berperanan sebagai medan perkongsian dan sebaran maklumat bagi syarikat-syarikat anggota SDK Jakim kepada masyarakat awam. Selain dapat lebih mengenali syarikat-syarikat anggota dengan lebih dekat, segmen ini turut menjadi lapangan untuk menganalisa kekuatan mahupun kelemahan pengurusan SDK Jakim sejak mula ditubuhkan pada tahun 2013 dan mengumpul idea-idea baru bagi memantapkan lagi pewujudan SDK Jakim pada masa akan datang.
 
Foto : Bahagian Dakwah, Jakim