LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

MENGENAI

PENANGGUHAN KEMUDAHAN CUTI BERSALIN BERELAUN PENUH KEPADA GURU KAFA WANITA

Bil. 12/2022

  1. JAKIM ingin menarik perhatian terhadap isu berhubung surat yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM bertarikh 21 Julai 2022 berkaitan arahan penangguhan kemudahan cuti bersalin berelaun penuh kepada guru KAFA wanita.

  2. Pada Januari 2022, JAKIM telah mengeluarkan Peraturan-peraturan Pelaksanaan Program KAFA Baharu Tahun 2022 untuk digunapakai oleh semua Agensi Pelaksana KAFA. Antara perkara baharu yang dimasukkan dalam peraturan tersebut ialah Kemudahan Cuti Bersalin Berelaun Penuh yang diberikan kepada guru KAFA wanita sekali dalam tempoh kontrak yang berkuatkuasa yang sebelum ini tidak pernah diberikan. Keputusan ini dibuat sebagai salah satu usaha dan inisiatif JAKIM dalam menjaga kebajikan golongan Guru KAFA wanita yang bersalin.

  3. Walau bagaimanapun, Kementerian Kewangan pada 6 Julai 2022 telah mengeluarkan pandangan bahawa pelaksanaan kemudahan tersebut adalah tidak sesuai buat masa ini kerana kedudukan status perjawatan guru KAFA. Sebagai mematuhi saranan dan pandangan tersebut, pihak JAKIM telah mengeluarkan surat penangguhan pemberian kemudahan tersebut pada 21 Julai 2022.

  4. JAKIM dalam usaha membuat rayuan kepada pihak Kementerian Kewangan dan sedang menjustifikasikan langkah yang dibuat untuk pertimbangan semula pihak Kementerian berkenaan.

  5. Dalam pada itu, pada 20 Julai 2022, JAKIM bersama YB Senator Datuk Haji Idris bin Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengadakan perjumpaan bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), YBhg. Dato' Sri Mohd Shafiq Abdullah antara lain bagi membincangkan isu kebajikan bagi guru dan Penyelia KAFA.

  6. Ingin ditegaskan bahawa pihak JAKIM bersama YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa berbincang dan mencari jalan bagi membela dan menjaga kebajikan semua pihak yang berada di bawah kawal selia JAKIM termasuk guru KAFA. JAKIM amat mengharapkan sokongan dan doa dari semua pihak agar usaha berterusan yang dibuat oleh pihak kerajaan melalui JAKIM selama ini dipermudahkan oleh Allah SWT.

Sekian.

DATUK HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD. YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
23 Julai 2022