LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

MENGENAI

PELANTIKAN
PENGERUSI JAWATANKUASA PERUNDANGAN ISLAM KEBANGSAAN
MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL AGAMA ISLAM MALAYSIA (MKI)

Bil.16/2022

  1. JAKIM amat berbesar hati dan mengalu-alukan pelantikan YBhg. Tan Sri Datin Paduka Zaharah binti Ibrahim, Mantan Hakim Besar Malaya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI). Mesyuarat Majlis Raja Raja Kali Ke-259 yang telah diadakan pada 30 Jun 2022 telah berkenan untuk menaik taraf Jawatankuasa Teknikal Undang Syarak dan Sivil, MKI kepada Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan, MKI. YBhg. Tan Sri Datin Paduka Zaharah binti Ibrahim diperkenan untuk mempengerusikan jawatankuasa ini berkuatkuasa mulai 30 Jun 2022 sehingga 29 Jun 2024. Watikah pelantikan beliau telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Pengerusi MKI pada Rabu, 17 Ogos 2022.

  2. Jawatankuasa Teknikal Undang Syarak dan Sivil sebelum ini ditubuhkan oleh MKI sejak 6 Mei 1988 antara lain bertujuan untuk membincangkan penyeragaman undang-undang syariah dan pengharmonian antara undang-undang sivil dan syariah di Malaysia. Berdasarkan pengalaman luas dan kredibiliti YBhg. Tan Sri Datin Paduka Zaharah binti Ibrahim dalam bidang kehakiman sebelum ini, JAKIM menaruh keyakinan beliau akan dapat memimpin Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan untuk mencapai matlamat penubuhannya.

  3. JAKIM juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung penghargaan dan ribuan terima kasih kepada YBhg. Tan Sri Sheikh Ghazali bin Abdul Rahman, mantan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil, MKI sejak 7 Jun 1999.


Sekian.

DATUK HAJAH HAKIMAH BT MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah JAKIM Merangkap Setiausaha MKI
1 September 2022