jata negara small

KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH JAKIM
 
BERKENAAN

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1445H BERSAMAAN 2023M


Bil. 33 / 2023

  • Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan pada 12 Rabiulawal 1445H bersamaan 28 September 2023M (Khamis) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula jam 30 pagi.
  • Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan untuk berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ke majlis tersebut. YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan isteri hadir bersama bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan pada tahun ini. Selain itu, tetamu kehormat lain yang dijadual hadir adalah YAB Timbalan-timbalan Perdana Menteri, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta dif-dif kenamaan lain.
  • Sambutan Maulidur Rasul SAW adalah merupakan salah satu acara rasmi Kerajaan yang disambut setiap tahun sama ada di peringkat Persekutuan dan Negeri sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia. Sambutan bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, malah ia menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW.
  • Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun ini melibatkan penyertaan seramai 6000 orang dari 131 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta. Majlis melibatkan acara Perarakan Kontinjen dengan penyertaan seramai 3700 orang peserta lelaki. Manakala peserta selebihnya adalah wanita akan mengikuti Bicara Santai Dhuha di Dewan Planery PICC  yang akan bermula serentak pada jam30 pagi. 
  • Kontinjen Perarakan Maulidur Rasul SAW berarak dari Jambatan Seri Gemilang Putrajaya ke PICC dengan jarak perjalanan 1 km yang diketuai oleh YB Senator Dato’ Setia Dr Hj Mohd Naim bin Hj Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Acara kemuncak Sambutan Maulidur Rasul SAW bermula pada jam 10.00 pagi dengan keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
TEMA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW

  • Pada tahun ini kerajaan telah mengangkat tema sambutan yang cukup signifikan dan bertepatan dengan situasi semasa iaitu “Perpaduan Teras Malaysia Madani”. Pemilihan tema ini adalah manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan kepada umat Islam termasuk masyarakat bukan Islam di negara ini.
  • Perpaduan merupakan tunjang kepada masyarakat madani yang maju bukan hanya dari segi kebendaan tetapi juga fikrah dan kerohanian. Sekiranya Allah berkehendak, nescaya semua manusia dijadikan-Nya satu umat sahaja, namun sebaliknya Allah hendak menguji manusia dengan mencipta segala kepelbagaian. Justeru, wujud kepelbagaian keupayaan dan keinginan, profesion dan pekerjaan; dan manusia diseru agar berlumba-lumba berbuat kebajikan, bukannya merosakkan dan bermusuhan antara satu dengan yang lain.
  • Selain itu, apa yang ingin dicapai melalui penganjuran ini adalah penyatuan semangat masyarakat Malaysia dengan perasaan cinta dan kasih kepada junjungan besar Rasulullah SAW yang sentiasa menyayangi dan merindui umatnya. Sudah menjadi fitrah manusia bahawa memperingati tarikh kelahiran seseorang adalah tanda kita mengasihi kehidupannya.
PENGURNIAAN ANUGERAH SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DAN KRITERIA PENGANUGERAHAN

  • Majlis pada kali ini akan menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan 6 orang penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW. Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu-individu yang layak dan telah memberi sumbangan yang cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara. Penerima Anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang telah disumbang untuk pembangunan agama, bangsa dan negara yang memberi impak positif ke atas kesejahteraan dan kemakmuran semua. Penerima anugerah dicadangkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan yang diurusetiakan oleh JAKIM.
KEISTIMEWAAN PENGANJURAN PADA KALI INI

  • Penganjuran kali ini dapat menyaksikan inovasi atau suntikan elemen teknologi iaitu persembahan seni media pemetaan cahaya (mapping) pada latar pentas (astaka), yang akan memaparkan tayangan grafik yang berinteraksi dengan fasad latar pentas (astaka). Ini adalah merupakan antara tarikan dan kelainan yang bakal dibawa melalui acara sambutan pada kali ini.
  • Selain itu, mengambil semangat kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, maka pada tahun ini juga dibawakan persembahan khas yang mengangkat keperibadian Nabi Muhammad SAW sebagai tauladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan umat manusia berdasarkan peristiwa-peristiwa dari sirah kehidupan baginda.
  • Persembahan khas ini diadaptasikan dengan kepelbagaian penyampaian yang berunsurkan keislaman yang menggabungkan pelbagai peringkat usia, bangsa dan keturunan yang bersatu atas nama Islam.
  • Selain itu, penonton juga boleh menyaksikan sambutan ini secara langsung melalui TV1 RTM dan Nasional fm selaku penyiar rasmi, serta lain-lain saluran stesen radio di bawah RTM seperti SALAMfm, Aifm, TRAXXfm, Minal fm, Asyik fm dan stesen radio RTM negeri. Siaran radio ini disampaikan dalam pelbagai Bahasa seperti Tamil, Mandarin, Inggeris dan dialek Orang Asli.
  • Sehubungan itu, dimohon jasa baik rakan-rakan media untuk membuat hebahan berkaitan sambutan

Sekian

DATUK HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
12 Rabiulawal 1445H bersamaan 28 September 2023M