jata negara small
KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

PELAKSANAAN INISIATIF SEGERA PENSIJILAN HALAL MALAYSIA 2.0


Bil. 36 / 2023

  1. Sukacita dimaklumkan bahawa, Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melaksanakan usaha berterusan untuk memastikan pengurusan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berada pada tahap yang terbaik. Oleh yang demikian, bermula Januari 2023, JAKIM telah melaksanakan Bussiness Process Reengineering (BPR) untuk meneliti isu dan punca kelewatan pengurusan pensijilan halal Malaysia. Melalui BPR yang dilaksanakan, JAKIM berjaya memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM) 2.0 yang terhasil melalui projek rintis pengurusan pensijilan halal Malaysia.

  2. Hasilnya, bermula Mac hingga Ogos 2023 satu pencapaian memberangsangkan direkodkan menerusi ISPHM 2.0 iaitu sebanyak 560 permohonan bersamaan 62.78% telah mendapatkan pensijilan halal kurang daripada 30 hari. Ini membuktikan ISPHM 2.0 memberi impak yang baik terhadap usaha dan inisiatif yang digerakkan untuk memastikan proses pensijilan halal dapat disegerakan dengan memendekkan tempoh masa proses pensijilan halal tanpa mengabaikan integriti dan kualiti pensijilan halal yang dijalankan serta hukum syarak.

  3. Berdasarkan inisiatif di atas, pendekatan yang diambil adalah menstrukturkan semula birokrasi permohonan dan meningkatkan keupayaan sistem sokongan sedia ada tanpa menjejaskan pematuhan industri terhadap standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang berkuatkuasa. Ia bagi memastikan ekosistem tadbir urus dan tatakelola penyampaian perkhidmatan yang diberikan menjadi indikator utama dalam memastikan perkhidmatan yang disampaikan adalah berkesan dan cekap serta memenuhi ekspektasi yang disasarkan.

  4. JAKIM juga menyambut baik saranan kerajaan untuk meneliti dan memperhalusi semula tempoh masa pengurusan pensijilan halal Malaysia agar ia dapat dipendekkan daripada 30 hari kepada 23 hari bekerja. Justeru itu, satu penilaian dan kajian lanjut akan dilakukan dengan kerjasama Malaysian Productivity Corporation (MPC) untuk memastikan kaedah implementasi yang bersesuaian dengan hasrat tersebut dapat dilaksanakan bermula daripada peringkat pra pensijilan sehingga pasca pensijilan halal.

  5. Selain itu, untuk memastikan peningkatan jumlah permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dalam kalangan usahawan Bumiputera maka, JAKIM akan memastikan program-program kesedaran halal diteruskan dan dilaksanakan “secara turun padang” untuk bertemu dengan usahawan yang memerlukan bimbingan. Konsep pelaksanan program tersebut adalah sebagaimana penganjuran program Halal on Track pada 9 Oktober 2023 yang lalu di Universiti Malaya. Selain daripada itu, JAKIM juga akan memperkukuh jalinan dan jaringan kerjasama strategik bersama agensi pembimbing usahawan demi memastikan tahap kesediaan yang tinggi dalam kalangan usahawan sebelum mereka memohon SPHM.

  6. Bagi memastikan pengurusan pensijilan halal berjalan lancar, JAKIM mengalu-alukan dan menyambut baik perhatian kerajaan untuk mempertimbangkan pertambahan jawatan bagi memperkemaskan pengurusan pensijilan halal Malaysia. Justeru itu, melalui Jawatankuasa Teknikal Pemandu Halal Malaysia, cadangan berkenaan tatakelola halal akan diperhalusi sewajarnya untuk memastikan pelaksanaan pengurusan halal diurus secara cekap dan proaktif.

  7. Di samping itu, JAKIM dengan kerjasama MAMPU juga sedang menaik taraf Sistem MYeHALAL 2.0 agar ia lebih mesra pengguna dan menepati keperluan teknologi semasa. JAKIM juga mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam membangunkan sistem sokongan halal seperti i-Bimbing dan MyHMS bagi membantu pihak industri membuat persiapan yang rapi sebelum mengemukakan permohonan SPHM.

  8. Justeru itu, bagi memastikan segala inisiatif yang digerakkan dapat dilaksanakan dengan berkesan maka, JAKIM ingin menarik perhatian semua industri untuk sentiasa memastikan kesediaan yang lebih baik ke arah pensijilan halal diselesaikan di peringkat industri sebelum mengemukakan permohonan halal. JAKIM juga akan memberi sepenuh komitmen agar pengurusan tatakelola halal dan pengurusan pensijilan halal ditambahbaik dari semasa ke semasa demi memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju halal global.

    Sekian.

    Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff
    Ketua Pengarah
    Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

    27 Rabiulawal 1445H / 13 Oktober 2023M