jata negara small
KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

BELANJAWAN 2024 MALAYSIA MADANI – KOMITMEN BERTERUSAN KERAJAAN PERPADUAN DALAM MEMARTABATKAN SYIAR ISLAM


Bil. 37 / 2023

    1. JAKIM selaku agensi penyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan amat berbesar hati dengan pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada Jumaat 13 Oktober 2023 yang jelas menunjukkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan dalam memartabatkan syiar Islam di negara ini.

    2. Sekalung penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan yang telah menyediakan peruntukan keseluruhan yang wajar berjumlah RM1.9 bilion ringgit khusus untuk manfaat pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di seluruh negara.

    3. Peruntukan RM1.9 bilion ini antaranya adalah bagi menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan Islam iaitu sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz yang semuanya berjumlah 150 juta ringgit.

    4. JAKIM bagi pihak golongan agamawan seramai 70,000 orang yang terdiri daripada guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut, turut menzahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan khas sebanyak RM700 setiap seorang dengan peruntukan disediakan lebih RM50 juta ringgit.

    5. Kerajaan juga terus prihatin kepada Sekolah Agama Rakyat dengan memberikan semula geran bantuan sebanyak 20 ribu ringgit kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang berdaftar di bawah penyelarasan JAKIM.

    6. Semoga peruntukan yang disediakan ini mampu memperkasakan lagi umat Islam di negara ini serta dapat memperkukuhkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

      Sekian.

      Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff
      Ketua Pengarah
      Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

      27 Rabiulawal 1445H / 13 Oktober 2023M