jata negara small
KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

PERANCANGAN KERAJAAN UNTUK MEMENDEKKAN TEMPOH PROSES PENSIJILAN HALAL
KEPADA 30 HARI DALAM PEMBENTANGAN BELANJAWAN MADANI 2024


Bil. 38 / 2023

    1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyambut baik hasrat kerajaan untuk memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 51 hari kepada 30 hari seperti disebut oleh YAB Perdana Menteri sewaktu pembentangan Bajet 2024 tempoh hari.

    2. Justeru itu, penilaian dan kajian terperinci dilakukan oleh JAKIM dengan kerjasama Malaysian Productivity Corporation (MPC) untuk memastikan kaedah implementasi yang bersesuaian dengan hasrat tersebut dapat dilaksanakan bermula daripada peringkat pra pensijilan sehingga pasca pensijilan halal.

    3. Bagi menggerakkan usaha strategik demi memastikan pengurusan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berada pada tahap yang terbaik, sejak Januari 2023, JAKIM telah melaksanakan Bussiness Process Reengineering (BPR) untuk meneliti isu dan punca kelewatan pengurusan pensijilan halal Malaysia. Melalui BPR yang dilaksanakan, JAKIM berjaya memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia (ISPHM) 2.0 yang terhasil melalui projek rintis pengurusan pensijilan halal Malaysia.

    4. Bermula 1 Januari 2023 hingga 30 September 2023, JAKIM menerima sebanyak 2664 permohonan sijil halal. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2399 (90%) permohonan telah selesai diuruskan manakala baki sebanyak 265 (10%) permohonan lagi sedang diproses di pelbagai peringkat sama ada di bawah tindakan JAKIM atau yang memerlukan tindakan pemohon. Data ini menunjukkan bahawa ISPHM 2.0 yang dilaksanakan di peringkat JAKIM benar-benar mencerminkan komitmen JAKIM untuk memperkasa pensijilan halal Malaysia dan menambahbaik tatakelola pengendalian pengurusan pensijilan halal dengan memberi perkhidmatan terbaik kepad pihak industri dan pengguna amnya.

    5. JAKIM turut menstrukturkan semula birokrasi permohonan dan meningkatkan keupayaan sistem sokongan sedia ada tanpa menjejaskan pematuhan industri terhadap standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang berkuatkuasa. Ia bagi memastikan ekosistem tadbir urus dan tatakelola penyampaian perkhidmatan yang diberikan menjadi indikator utama dalam memastikan perkhidmatan yang disampaikan adalah berkesan dan cekap serta memenuhi ekspektasi yang disasarkan.

    6. Di samping itu, JAKIM dengan kerjasama MAMPU sedang berusaha untuk menaik taraf Sistem MYeHALAL 2.0 agar ia lebih mesra pengguna dan menepati keperluan teknologi semasa. JAKIM juga mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam membangunkan sistem sokongan halal seperti i-Bimbing dan MyHMS bagi membantu pihak industri membuat persiapan yang rapi sebelum mengemukakan permohonan SPHM.

    7. Bagi memastikan segala inisiatif yang digerakkan dapat dilaksanakan dengan berkesan maka, JAKIM ingin menarik perhatian semua industri untuk sentiasa memastikan kesediaan yang lebih baik ke arah pensijilan halal diselesaikan di peringkat industri sebelum mengemukakan permohonan halal. JAKIM juga akan memberi sepenuh komitmen agar pengurusan tatakelola halal dan pengurusan pensijilan halal ditambahbaik dari semasa ke semasa demi memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju halal global.

    8. JAKIM memperakui sebagaimana kenyataan YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd. Naím bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sewaktu menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat minggu lalu, bahawa kekangan sumber manusia turut menjadi cabaran bagi JAKIM mempertingkatkan prestasi pengurusan pensijilan halal. Justeru, JAKIM amat mengalu-alukan dan menyambut baik perhatian kerajaan untuk mempertimbangkan pertambahan sumber manusia di Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM bagi memperkemaskan pengurusan pensijilan halal Malaysia. Justeru itu, melalui Jawatankuasa Teknikal Pemandu Halal Malaysia, cadangan berkenaan tatakelola halal akan diperhalusi sewajarnya untuk memastikan pelaksanaan pengurusan halal diurus secara cekap dan proaktif dapat dilaksanakan.

      Sekian.

      Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff
      Ketua Pengarah
      Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

      02 Rabiulakhir 1445H / 17 Oktober 2023M