jata negara small
KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

MENGENAI

ISU PENCEROBOHAN PORTAL RASMI HALAL MALAYSIA

Bil. 39 / 2023

    1. Sebagaimana makluman yang telah dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Halal, JAKIM sebelum ini bahawa Portal Rasmi Halal Malaysia dikesan mula diceroboh pada Sabtu, 9 Disember 2023.

    2. Lanjutan isu tersebut, saya telah mengarahkan pasukan teknikal ICT JAKIM untuk menjalankan siasatan dan menyediakan laporan menyeluruh berhubung perkara tersebut termasuk mencadangkan langkah-langkah proaktif ke arah meningkatkan ciri keselamatan portal supaya isu sama tidak berulang pada masa hadapan.

    3. Pada Rabu, 13 Disember 2023, Portal Rasmi Halal Malaysia telah mula beroperasi kembali setelah tindakan pembaikan dibuat. Makluman kepada para pengguna berkenaan pengoperasian semula Portal Rasmi Halal Malaysia juga telah dibuat.

    4. Syukur alhamdulillah, insiden pencerobohan yang berlaku ini tidak menyebabkan sebarang data tertiris. Namun, saya telah mengarahkan pasukan teknikal ICT JAKIM mengambil langkah proaktif untuk mengemaskini loophole yang mungkin boleh menjadi ruang untuk penggodam menceroboh kembali ke dalam Portal Rasmi Halal Malaysia.

    5. Saya juga meminta supaya proses untuk menyiapkan infrastruktur baharu di mana server, operation system dan aplikasi akan dinaik taraf ke versi yang terkini. Proses ini sedang dilaksanakan dan saya difahamkan bahawa infrastruktur baru ini akan disiapkan sebelum Januari 2024.

    6. JAKIM menyedari kerisauan pengguna mengenai ciri-ciri keselamatan sedia ada di Portal Halal Malaysia dan saya membaca semua ulasan dan pandangan netizen mengenai perkara tersebut. Terima kasih kepada anda semua yang sentiasa prihatin dan menyokong sistem pensijilan halal Malaysia. InsyaAllah, JAKIM akan terus memperbaiki kelompongan yang ada demi keselesaan semua.

      Sekian.

      Datin Paduka Hajah Hakimah Binti Mohd Yusoff
      Ketua Pengarah
      Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

      15 Disember 2023