jata negara small
KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

PENCAPAIAN PENSIJILAN HALAL MALAYSIA BAGI TAHUN 2023

Bil. 1 / 2024

Pensijilan halal Malaysia telah mengalami perubahan yang besar sepanjang tahun 2023. Impak kepada perubahan ini dapat dilihat hasil daripada pelaksanaan Business Process Engineering (BPR) bermula daripada Januari 2023. Melalui pelaksanaan BPR ini, JAKIM telah memperkenalkan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia 2.0 (ISPHM 2.0) hasil daripada projek rintis pengurusan pensijilan halal Malaysia yang telah dijalankan.

Sepanjang tahun 2023, sebanyak 15,605 jumlah permohonan telah direkodkan berbanding 14,977 pada tahun 2022. Peningkatan jumlah permohonan ini adalah sebanyak 4%. Jumlah kelulusan permohonan bagi tahun 2023 adalah sebanyak 8,509 permohonan dan jumlah produk yang telah dipersijilkan halal pula adalah sebanyak 132,106 produk. Produk yang dipersijilkan halal adalah meliputi skim produk makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, bahan gunaan dan peranti perubatan. Untuk makluman juga, fi pensijilan halal Malaysia yang telah berjaya dikutip pada tahun 2023 adalah sebanyak RM11,035,300.

Berdasarkan laporan State of Global Islamic Economy (SGIE) 2023 yang dikeluarkan oleh Dinar Standards, Malaysia berada di tempat pertama bagi sektor makanan halal dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) 2023. Perkara ini menunjukkan bahawa industri halal Malaysia semakin berkembang pesat jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Pencapaian ini juga telah menyumbang kepada kedudukan Malaysia untuk mengekalkan tempat pertama daripada 81 buah negara bagi tahun ke-10 berturut-turut.

JAKIM akan memastikan pencapaian sebegini akan dikekalkan pada masa akan datang. Komitmen yang penuh akan diberikan bagi memastikan pengurusan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berada pada tahap yang terbaik. Pelbagai inisiatif baru akan dirancang dan dirangka bagi memperkasakan pensijilan halal Malaysia di peringkat global.

Sekian

Datin Paduka Hajah Hakimah Binti Mohd Yusoff
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

03 Januari 2024