jata negara small
KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

MENGENAI

FORUM PERDANA EHWAL ISLAM DIRAJA

Bil. 3 / 2024

  1. JAKIM dan Istana Negara akan mengadakan program Forum Perdana Ehwal Islam Diraja pada Khamis, 11 Januari 2024 bertempat di Istana Negara. Program yang akan disiarkan menerusi RTM saluran TV1 jam 9.00 malam akan bersiaran secara langsung selama 1 jam 30 minit.

  2. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah memberi perkenan berangkat ke program ini.

  3. Forum dengan tajuk Institusi Diraja Penyatuan Ummah akan dikupas oleh tiga orang ahli panel iaitu Sahibus Sa'adah Dato' Haji Badli Shah Alaudin, Timbalan Mufti Pahang, Prof. Madya Dr. Mohd. Izhar Ariff bin Mohd. Kashim, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia dan Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail, Pensyarah Universiti Malaya manakala Ustaz Zakaria bin Othman, Pegawai JAKIM selaku moderator.

  4. Semoga kupasan forum ini akan meningkat dan menyuburkan kefahaman segenap lapisan masyarakat bahawa institusi diraja adalah simbol menyatukan ummah dalam kalangan komuniti yang berbeza dan pelbagai di bawah frasa kesetiaan dan ketaatan secara bersama kepada raja dan negara. Malah dalam konteks negara kita, kesetiaan kepada raja penting kerana ia adalah baja kepada semangat patriotisme.

  5. JAKIM ingin menjemput seluruh lapisan masyarakat untuk sama-sama menonton rancangan Forum Perdana Ehwal Islam Diraja di TV1.


Sekian.

Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd. Yusoff
Ketua Pengarah JAKIM
10 Januari 2024