jata negara small

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

 

 BERKENAAN
 
 
MAJLIS KHATAM HAFAZAN AL-QURAN
PROGRAM DIPLOMA TAHFIZ AL-QURAN & AL-QIRAAT
DARUL QURAN JAKIM TAHUN 2024
 
Bil. 7/2024

1.       Sukacita dimaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia pada hari ini telah menganjurkan Majlis Khatam Hafazan Al-Quran Program Diploma Tahfiz Al-Quran & Al-Qiraat Darul Quran JAKIM. Seramai 205 orang pelajar telah menyelesaikan perjalanan mereka menamatkan hafazan al-Quran 30 Juzu’ al-Quran dalam tempoh 6 semester atau 3 tahun.

2.       Selaras dengan prinsip Malaysia Madani yang antara lain bermatlamat pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta manusia, program yang diadakan oleh Darul Quran JAKIM ini, tidak hanya menekankan aspek pengajaran dan pembelajaran hafazan Al-Quran semata-mata, tetapi juga mengintegrasikan nilai-nilai Islami yang holistik ke arah kemenjadian pelajar. Kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan kepada Darul Quran JAKIM sebagai peneraju Pendidikan Tahfiz Al-Quran di negara ini adalah merupakan suatu pengiktirafan dan inisiatif kerajaan dalam menyuburkan syiar Islam di negara ini.

3.       Dalam konteks Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (al-Falah) 2023–2027, Darul Quran berperanan penting sebagai salah satu agen utama dalam menjayakan pendidikan Islam yang mampan, inklusif, dan holistik. Darul Quran juga terlibat secara aktif dalam usaha mewujudkan model Pendidikan Tahfiz peringkat pengajian tinggi, sejajar dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara.

4.       Semoga semua pelajar yang diraikan pada hari ini akan menjadi pemangkin untuk usaha lebih besar dalam melahirkan generasi penerus yang berilmu, berakhlak, dan berdaya saing tinggi. Syabas dan tahniah diucapkan kepada pengurusan Darul Quran dan semua pelajar yang diraikan dalam Majlis Khatam Hafazan Al-Quran ini.

Sekian.


DATIN PADUKA HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
2 Mac 2024