jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

KONVENSYEN PEGAWAI PEGUATKUASA AGAMA DAN PENDAKWA SYARIE SELURUH MALAYSIA 2019
 
“PEMBUKTIAN KUKUH PENGHUJAHAN UTUH”
 ________________________________________________________________________________________________
 
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menganjurkan Konvensyen Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia 2019 pada 3 Oktober 2019 bertempat di Dewan Dato’ Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi, Selangor.
 
2. Objektif konvensyen ini ialah :-
  1. Memperkukuh pemahaman dan pengetahuan Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie terhadap isu-isu semasa Perundangan Syariah di Malaysia.
  2. Meningkat profesionalisme dalam pelaksanaan tindakan peguatkuasaan dan pendakwaan undang-undang Syariah di negeri-negeri seluruh Malaysia ; dan
  3. Mengeratkan lagi hubungan kerjasama di antara JAKIM sebagai agensi penyelaras dan JAIN seluruh Malaysia sebagai agensi pelaksana.
 
3. Konvensyen ini dihadiri oleh seramai 200 orang terdiri daripada Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie dari seluruh Malaysia serta pegawai yang menjalankan risikan di Bahagian Penyelidikan dan pegawai penguatkuasa halal dari seluruh Malaysia.
 
4. Antara acara yang menarik sepanjang konvensyen ini ialah :-
  1. Ucaptama oleh YAA Dato’ Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
  2. Pembentangan 5 kertas kerja oleh wakil dari Bahagian Cawangan Khas PDRM Bukit Aman dan dari Pejabat Peguam Negara.
  3. Pelancaran Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama dan penyerahannya kepada Ketua Pegawai Penguatkuasa negeri seluruh Malaysia.
  4. Penyampaian Sijil dan Cenderahati kepada 10 orang Ahli Jawatankuasa Garis Panduan Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah.
  5. Penyampaian sijil penyertaan kepada 12 orang peserta Program Sangkutan Pendakwa Syarie di Jabatan Peguam Negara / Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri 2018.
 
5. Sehubungan itu, dipohon jasa baik pihak media untuk mewar-warkan penganjuran program ini kepada masyarakat umum.
 
Sekian, terima kasih
 
 
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
4 Safar 1441H
3 Oktober 2019M
 
 
MAKLUMAT TAMBAHAN
 
Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama
 
  1. Kod Etika yang digubal berpandukan Kod Etika Pegawai Penguatkuasa
    Agama 2008 dan The Code of Conduct for Prosecuters 2012, Attorney General Chambers ini merupakan penambahbaikan kepada Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama 2008 sedia ada. Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri 2019 telah ditambahbaik dengan sumber dan falsafah penguatkuasa undang-undang yang lebih komprehensif, padat dengan nilai-nilai murni yang boleh dijadikan panduan oleh pegawai penguatkuasa agama dalam melaksanakan tugas tanggungjawab mereka.
  2. Kandungan Kod Etika ini juga digarap selaras dengan gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin yang memperlihatkan keindahan perundangan Islam dengan penambahan falsafah penguatkuasaan undang-undang yang menekankan nilai-nilai murni Islam berdasarkan al-Quran, al-Sunnah, kaedah-kaedah fiqhiyyah dan semangat serta tujuan penguatkuasaan itu sendiri.
  3. Falsafah yang dimasukkan dalam Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri 2019 ini adalah –
 
  1. Berdasarkan surah Ali- Imran: Ayat 110
Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.”;
 
Ini menjelaskan bahawa Pegawai Penguatkuasa Agama harus mempunyai 2 sifat yang dinyatakan dalam ayat 110 iaitu mengajak berbuat kebaikan serta mencegah kemungkaran dan sentiasa beriman kepada Allah SWT. Kedua-dua sifat itu merupakan kunci kepada kejayaan dalam melaksanakan amanah yang yang diberikan.
 
 
b. Berdasarkan surah al-Nahl: Ayat 125
 
Maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”;
 
Ayat ini pula membawa konotasi bahawa Pegawai Penguatkuasa Agama haruslah melaksanakan amanah mereka dengan penuh hikmah bijaksana. Selain daripada memberi nasihat dan teguran kepada mereka yang disyaki melakukan kesalahan dengan cara yang terbaik. Perkara ini adalah seperti yang saya telah jelaskan di awal ucapan saya tadi.
 
 
c. Berdasarkan surah an-Nisa’: Ayat 58
 
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”;
 
Ayat ini antaranya mengingatkan para umara’ yang termasuklah penguatkuasa agama dan pendakwa syarie agar apabila menetapkan hukum di antara manusia atau mengambil sesuatu keputusan sama ada untuk menyiasat, mendakwa atau tidak sesuatu kes itu, maka ia hendaklah dibuat dengan adil dan dengan pertimbangan yang wajar. Keputusan atau pertimbangan itu hendaklah berasaskan kepada bukti-bukti yang kukuh dan hujah-hujah yang utuh selaras dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
 
 
Program Sangkutan Pendakwa Syarie di Jabatan Peguam Negara
  1. Merupakan program kerjasama strategik antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Peguam Negara (JPN), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
  2. Mula dijalankan sejak tahun 2014 hingga 2018 dan telah berjaya dihadiri oleh 90 orang Pendakwa Syarie Gred LS 4/ LS 44 dan LS 27/ LS 29 dari seluruh Malaysia.
  3. Modul Program Sangkutan terdiri daripada dua komponen dan telah dilaksanakan seperti berikut :
BIL. KOMPONEN PELAKSANAAN
1. Komponen 1 :Kursus Jangka Pendek – Kursus Khas             Pendakwaan Syariah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi
2.

Komponen 2 :

Program Sangkutan di Jabatan Peguam Negara ATAU Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri-Negeri

Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri-Nege
 
 
4. Objektif program:

a) Meningkatkan kemahiran, kepakaran dan mutu pendakwaan kes-kes kesalahan jenayah syariah di Malaysia;
b) Perkongsian kepakaran dan pengalaman; dan
c) Menjalinkan kerjasama strategik antara bidang perundangan syariah dan sivil.
 

5. Melalui Program Sangkutan ini, Pendakwa Syarie yang terpilih telah berpeluang mendapat pendedahan dan perkongsian maklumat serta pengalaman kependakwaan daripada Pegawai Penyelia di agensi penempatan sangkutan masing-masing. Pengalaman ini secara tidak langsung dapat meningkatkan pengetahuan dan tahap profesionalisme Pendakwa Syarie dalam kerjaya.