KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

MENGENAI

INISIATIF MYCARECOV19

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin memaklumkan mengenai inisiatif yang dilaksanakan sempena PKP iaitu penubuhan Bilik Gerakan MyCareCov19 yang beroperasi di Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), JAKIM, Aras 4, Blok B, Kompleks Islam Putrajaya. 
 
Bilik Gerakan MyCareCoV19 yang mula beroperasi sepenuhnya mulai Isnin 13 April 2020 adalah sebahagian daripada inisiatif  MyCareCoV19 yang ditubuhkan JAKIM. Ia turut mendapat kerjasama agensi-agensi agama lain di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan  Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
 
Inisiatif ini juga mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). 
 
Modus operandi Bilik Gerakan MyCareCoV19  ini ialah sedaya upaya untuk memeluk emosi golongan yang terjejas akibat PKP tanpa mengira kaum dan agama melalui perkongsian rasa, khidmat nasihat dan bimbingan yang diberikan kepada mereka. Selain itu langkah proaktif yang dilakukan oleh MyCareCoV19 ini ialah dengan menghubungi kumpulan sasar yang dicadangkan oleh KPWKM, KPKT, KBS dan KWP.
 
Seramai 8 orang petugas dan 20 orang kaunselor akan terlibat secara harian dalam memberi khidmat kepada kumpulan sasar. Bilik Gerakan MyCareCov19 boleh dihubungi melalui talian 03-8870519/7527/7528 atau boleh juga menulis melalui emel kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.. Petugas juga akan menghubungi kumpulan sasar melalui talian 03-88707000.
 
Hari pertama Bilik Gerakan ini beroperasi semalam,  sebanyak 43 panggilan dan 12 emel yang diterima daripada klien dan 5 panggilan susulan kes.
 
Sekian.
 
 
HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD. YUSOFF
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar)
Jabatan Kemajauan Islam Malaysia (JAKIM)
 
14 April 2020