jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

SINDIKET YANG MEMPERGUNAKAN NAMA TABUNG MUSA’ADAH JAKIM – YAYASAN WAKAF MALAYSIA


Bil. 27/2025

bismillah 2

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih


1. Kerajaan Madani melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius aduan awam berhubung kewujudan sindiket penipuan yang mempergunakan nama Tabung Musa’adah JAKIM–Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) bagi tujuan kutipan sumbangan secara tidak sah.

2. Susulan itu, JAKIM telah mengambil tindakan segera dengan membuat laporan polis serta melaporkannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar siasatan dan tindakan tegas dapat diambil di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan.

3. Untuk makluman, JAKIM tidak pernah melantik atau menjalinkan sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana individu atau pihak HubSpot.Inc bagi mewakili JAKIM dalam membuat kutipan sumbangan ke dalam Tabung Musa’adah JAKIM–YWM.

4. Sehubungan dengan itu, semua pihak digesa agar sentiasa berwaspada terhadap kewujudan sindiket seperti ini. Perlakuan tidak bertanggungjawab ini sudah pasti mencemarkan nama baik agensi hal ehwal agama.

5. Kerajaan Madani melalui JAKIM sentiasa konsisten dalam memastikan segala bentuk penganiayaan terhadap rakyat dapat dibanteras sepenuhnya demi menjamin kehidupan rakyat yang sejahtera, aman dan harmoni tanpa sebarang bentuk penindasan.

Sekian, terima kasih.

DATO’ DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
30 MEI 2025M / 2 ZULHIJAH 1446