jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

PENGUMUMAN BELANJAWAN MADANI 2026: BELANJAWAN UNTUK RAKYAT

Bil. 44/2025

1. Belanjawan Madani 2026 yang telah diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, semalam memperkukuh komitmen Kerajaan dalam menjadikan dasar fiskal negara berpaksikan kesejahteraan rakyat dan pengukuhanilai kemanusiaan. Belanjawan kali ini juga jelas menzahirkan semangat belanjawan untuk rakyat dengan strategi berpandukan hasil usaha bersama demi kemakmuran yang inklusif dan seimbang.

2. Peruntukan sebanyak RM2.6 bilion bagi urusan hal ehwal Islam pada kali ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM0.6 bilion berbanding tahun 2025. Peningkatan ini memperlihatkan keutamaan berterusan Kerajaan Madani untuk memartabatkan syiar Islam, memperkukuh institusi keagamaan serta memastikan pembangunan rohani dan moral seiring dengan kemajuan sosioekonomi negara.

3. Agenda Pendidikan Islam terus menjadi keutamaan dalam Belanjawan Madani 2026 dengan penekanan kepada penerapan ilmu baharu seperti digital, kecerdasan buatan (AI) dan TVET bagi melahirkan generasi Muslim yang berdaya saing dalam era moden tanpa mengetepikan kekuatan kurikulum tradisional. Sejumlah RM150 juta turut diperuntukkan bagi menaik taraf prasarana sekolah agama rakyat dan institusi tahfiz di seluruh negara, termasuk penggantian peralatan pengajian yang usang. Peruntukan ini bukan sahaja memperkukuh sistem pendidikan Islam, malah memperhebat pembangunan modal insan apabila 720 pelajar tahfiz akan menjalani latihan kemahiran profesional melalui GiatMARA bagi meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran selepas tamat pengajian.

4. Aspek pengimarahan masjid terus menjadi keutamaan dalam memperkukuh peranan institusi ini sebagai pusat ilmu, perpaduan dan pembangunan ummah. Usaha ini diterjemahkan melalui penganjuran pelbagai wacana dan majlis ilmu yang menghimpunkan ulama, umara dan teknokrat sebagai wadah perkongsian ilmu dan pemerkasaan komuniti Islam. Pelaksanaan Anugerah Masjid Malaysia yang turut diumumkan dalam Belanjawan kali ini merupakan langkah strategik dan signifikan sebagai pemangkin kepada kecemerlangan pengurusan masjid serta pengukuhan peranan institusi ini dalam pembangunan komuniti Islam secara menyeluruh.

5. Dalam masa yang sama, pengukuhan kefahaman Islam terus diperkasa di bawah pentadbiran Kerajaan Madani melalui penganjuran Majlis Sama’ Hadis 2026 yang bakal memberi peluang kepada umat Islam menghayati hadis-hadis Rasulullah SAW dengan bacaan tartil oleh para ulama muktabar. Inisiatif ini bukan sahaja menghidupkan semula tradisi keilmuan Islam yang penuh barakah, malah memperteguh hubungan umat dengan warisan keilmuan Rasulullah SAW secara berterusan.

6. JAKIM menyifatkan pengumuman Belanjawan Madani 2026 yang berteraskan semangat ‘Belanjawan untuk Rakyat’ sebagai manifestasi kesungguhan Kerajaan dalam memperkukuh syiar Islam di peringkat nasional dan global. Usaha penyebaran risalah Islam melalui al-Quran akan terus diperhebat menerusi pelaksanaan inisiatif berskala antarabangsa yang diterajui oleh JAKIM bersama Yayasan Restu. Program ini meneruskan komitmen mencetak satu juta naskhah al-Quran dalam 30 bahasa utama dunia, yang telah mendapat sambutan amat positif di peringkat antarabangsa. Seiring itu, pengenalan Mushaf Madani yang turut diumumkan dalam Belanjawan kali ini menjadi sebahagian daripada program tadabbur al-Quran di peringkat nasional, di samping pembangunan Kompleks Madinatul Quran di Putrajaya yang bakal menjadi mercu tanda baharu dunia Quranik negara.

7. Langkah memperkukuh kebajikan umat Islam turut dizahirkan melalui peningkatan had pengeluaran KWSP Haji daripada RM3,000 kepada RM10,000. Bagi penjawat awam, peluasan kemudahan pengeluaran awal Gantian Cuti Rehat (GCR) bagi tujuan yang sama dengan had penebusan sebanyak RM10,000, melibatkan peruntukan berjumlah RM10 juta, mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam mempermudah urusan umat Islam menunaikan rukun Islam kelima. Inisiatif ini bukan sekadar kemudahan kewangan, tetapi tanda keprihatinan dan kasih Kerajaan terhadap kesejahteraan rohani rakyat.

8. Alhamdulillah, Belanjawan Madani 2026 secara keseluruhannya mencerminkan pendekatan menyeluruh Kerajaan Madani dalam memperkasa pembangunan ummah daripada aspek pendidikan, institusi, keilmuan dan kesejahteraan rohani. Ia menegaskan bahawa kemajuan negara tidak hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi, tetapi turut disandarkan kepada kekuatan nilai, keinsanan dan keberkatan yang berpaksikan ajaran Islam.

Sekian, terima kasih.


DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
11 OKTOBER 2025M / 19 RABIULAKHIR 1447H