jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

KONVENSYEN MUALAF MADANI (KEMUDI) PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2025

Bil. 46/2025

1. Dengan penuh rasa syukur, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan sukacitanya mengumumkan penganjuran Konvensyen Mualaf Madani (KEMUDI) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang berlangsung dari 21 hingga 23 Oktober di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam, Selangor. Program ini merupakan program yang dijenamakan semula daripada Konvensyen Saudara Muslim, iaitu acara dwi-tahunan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

2. Sejak penubuhannya pada tahun 2008, konvensyen ini berperanan memperkukuh pembangunan mualaf menjadi mukalaf yang berilmu, kukuh dari segi rohani, dan berdaya saing dalam aspek ekonomi serta kehidupan secara menyeluruh. KEMUDI turut menjadi wadah penyatuan lebih 600 mualaf dari pelbagai kaum dan etnik seluruh negara, termasuk kaum Cina, India, Sikh, Orang Asli, serta etnik Sabah dan Sarawak, dengan tujuan memperkukuh perpaduan dan jati diri mereka dalam masyarakat.

3. Majlis Perasmian Penutup KEMUDI 2025 disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 23 Oktober 2025 (Khamis) jam 10.30 pagi di lokasi yang sama.

4. Konvensyen pada tahun ini turut dijayakan bersama Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Selangor serta Lembaga Zakat Negeri Selangor. Sinergi strategik ini memperkukuh jaringan sokongan terhadap pembangunan mualaf dan memperluas capaian program agar lebih inklusif, holistik, serta merentas sempadan negeri dan latar belakang etnik. Usaha bersepadu ini merupakan manifestasi komitmen semua pihak dalam memperkasa aspek pendidikan, kebajikan, serta pembangunan sahsiah saudara baharu, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani.

5. Antara pengisian utama konvensyen KEMUDI adalah Forum Malaysia Madani, yang mengetengahkan agenda pemerkasaan dan pembangunan mualaf secara holistik ke arah kejayaan dunia dan akhirat. Selain itu, pembentangan kertas kerja yang diadakan turut selari dengan tema konvensyen, merangkumi aspek kelestarian pembangunan jiwa mualaf melalui pendekatan ilmu, kerohanian, pemantapan sahsiah serta pengukuhan peranan dalam masyarakat. Turut diadakan ialah sesi perkongsian pengalaman yang menyentuh pengalaman unik mualaf dalam usaha mendekati keluarga bukan Islam melalui pendekatan dakwah berhikmah dan kasih sayang.

6. Sebagai penghargaan kepada individu yang menunjukkan komitmen luar biasa dalam pembangunan diri dan komuniti, tujuh anugerah khas akan disampaikan, iaitu:
i. Tokoh Mualaf Kebangsaan
ii. Anugerah Kepimpinan Mualaf
iii. Anugerah Kepimpinan Orang Asli (OA)
iv. Anugerah Surau Terbaik
v. Anugerah Imam OA
vi. Anugerah Bilal OA
vii. Anugerah Khas Mualaf

7. Penganjuran KEMUDI 2025 menzahirkan komitmen teguh Kerajaan MADANI melalui JAKIM sebagai peneraju utama hal ehwal Islam di negara ini dalam memperkukuh pengurusan dan hala tuju pembangunan mualaf. Melalui kekuatan kolaborasi strategik antara agensi kerajaan dan NGO Islam, konvensyen seperti ini berperanan sebagai platform perbincangan intelektual yang berkesan dalam membina jati diri mualaf ke arah menjadi mukalaf yang berilmu, berakhlak mulia, dan berdaya saing.

8. Usaha ini diharapkan menjadi pemangkin utama kepada kelangsungan dan kemakmuran Islam di Malaysia, selaras dengan aspirasi menjadikan negara ini sebagai model masyarakat yang berpegang teguh kepada nilai kasih sayang dan kesejahteraan sejagat. Dengan potensi mualaf yang digilap dan diperkasa, mereka akan menjadi pelapis pendakwah masa hadapan yang bukan sahaja mampu menyebarkan mesej Islam dengan penuh hikmah dan kasih sayang, malah mampu membawa transformasi positif kepada masyarakat, sekaligus memastikan Islam terus mekar dan berkembang subur di bumi Malaysia.

Sekian, terima kasih.


DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
23 OKTOBER 2025M / 1 JAMADILAWAL 1447H