Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah
PUTRAJAYA, 1 September 2019 - JAKIM telah berjaya menganjurkan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M pada 1 Muharram 1441H bersamaan 1 September 2019M (Ahad) bertempat di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya mulai jam 9.30 pagi. Majlis sambutan ini telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj. Turut hadir adalah YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri, YB Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, dif-dif jemputan dan Duta-Duta Luar Negara.
 
Tema Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun ini ialah “Negara Rahmah Ummah Sejahtera”. Islam merupakan agama rahmah yang mengajak manusia untuk saling hormat menghormati, berkasih sayang, bertoleransi, saling memaafkan dan bersifat belas kasihan. Kasih sayang yang dianjurkan oleh Islam dapat dilihat melalui konsep rahmah yang ditekankan dalam al-Quran.
 
Kemuncak bagi Majlis Sambutan Ma’al Hijrah ini adalah penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M. Pada tahun ini, Jawatankuasa Induk telah bersetuju menyampaikan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada seorang tokoh tanahair iaitu Dato’Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Chairman, Accreditation Board, Chartered Institute of Water and Environmental Management (CIWEM ditubuhkan pada 1896, London). Beliau mempunyai kepakaran dalam pelestarian alam sekitar (environmental sustainability), bukan di dalam Malaysia dan juga di persada antarabangsa.
 
Manakala seorang tokoh antarabangsa telah dianugerahkan kepada Shaykh Abdallah Bin Shaykh Al-Mahfoudh Bin Bayyah dari Timbedra, Mauritania. Beliau merupakan Ketua Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu dan juga Timbalan Presiden Persatuan Antarabangsa Ulama Islam Beirut.
 
Kriteria tokoh yang dipilih adalah berdasarkan kepada pengetahuan dan pengalaman yang luas, mempunyai sifat dan peribadi yang unggul serta telah memberi sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan syiar Islam. Tokoh juga telah memberi sumbangan besar dalam pembangunan ummah selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara.
 
Tokoh Ma’al Hijrah Kebangsaan dan Antarabangsa telah menerima hadiah wang tunai berjumlah RM 100,000.00, pingat serta sijil penghargaan Kerajaan Malaysia. Tokoh-tokoh ini juga telah diundang menyampaikan syarahan dalam 1st International Forum on Islamic Thought (1st I-FIT) : Revitalizing Maqasid Syariah Towards Compassionate Governance pada 3 September 2019 di Hotel Everly Putrajaya.
 
Bersempena Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M ini, JAKIM turut menganjurkan Program Bual Bicara Khas Ma‘al Hijrah 1441H secara langsung di Studio RTM Angkasapuri pada jam 6 petang serta Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun secara lintas langsung di Masjid Negara oleh Imam Besar Masjid Negara. Seterusnya mengadakan Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat.
 
Maal Hijrah 1441H 10
 
Maal Hijrah 1441H 2
 
Maal Hijrah 1441H 5
 
Maal Hijrah 1441H 6
 
Maal Hijrah 1441H 4
 
Maal Hijrah 1441H 8
 
Maal Hijrah 1441H 7
 
Maal Hijrah 1441H 9
 
Maal Hijrah 1441H 11
 
Maal Hijrah 1441H 1
 
Maal Hijrah 1441H 3