Sekolah Agama bermaksud mana-mana tempat yang digunakan bagi tujuan pendidikan, pengajaran atau pembelajaran agama Islam sama ada secara fizikal atau secara dalam talian (maya), di peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, tahfiz dan pondok. Ia ditubuh dan ditadbir urus oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) atau individu secara perseorangan atau berkumpulan, atau pertubuhan atau syarikat. Institusi ini berdaftar dengan PBAN dan bukan berada di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bermaksud kelas pengajian Al-Quran dan Fardu Ain bermula tahun 1 hingga tahun 6 yang berdaftar dengan Agensi Pelaksana (Pihak Berkuasa Agama Negeri) dengan menggunapakai kurikulum, buku teks, peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan mengikut jadual atau waktu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan elaun Guru KAFA dibayar oleh Kerajaan Persekutuan melalui JAKIM.
Pendaftaran Nikah, Cerai dan Rujuk akan didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID). Pemohon perlu ke PAID bagi tujuan pendaftaran dengan membawa dokumen berkaitan.
Sistem e-Mualaf dibangunkan bagi tujuan memantapkan lagi pengurusan pengislaman, pendaftaran pengislaman, pembelajaran, kebajikan dan jagaan saudara muslim. Selain itu, maklumat saudara muslim juga dapat diperolehi dengan segera khususnya apabila berlaku kecemasan dan mengelakkan berlakunya pertindihan tuntutan jenazah.

Maklumat muallaf yang terkandung di dalam system hanya meliputi Perlis, Kedah, Perak, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan sahaja. Kemudahan ini akan terus diperluaskan bagi merangkumi negeri-negeri lain di dalam masa yang terdekat.
Pasangan yang ingin melangsungkan pernikahan mestilah melakukan permohonan dan mendapatkan kebenaran berkahwin melalui Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di negeri masing-masing. Permohonan Kebenaran Berkahwin Online adalah satu inisiatif Jakim dengan kerjasama Jabatan Agama Islam negeri - negeri bagi tujuan memberikan kemudahan kepada masyarakat umumnya dan pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan khususnya memohon kebenaran pernikahan.

Permohonan Kebenaran Berkahwin Online pada masa ini hanya meliputi permohonan yang dibuat di Perlis, Kedah, Perak, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka, namun kemudahan ini akan terus diperluaskan bagi merangkumi negeri-negeri lain di dalam masa yang terdekat.