ybmassalamualaikum  

Ingin saya memulakan dengan sama-sama mengajak kita semua merenung firman Allah SWT yang terakam dalam Surah Al-Ahzab ayat 72:

al Ahzab 72



Bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”

Secara sepintas lalu, keberadaan dan peranan agensi-agensi hal ehwal Islam sebagai sebahagian jentera pentadbiran negara amat signifikan. Sudah tentu ianya untuk melaksanakan maksud Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang jelas mengiktiraf Islam adalah agama bagi Persekutuan dan Raja atau Sultan sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri.

Seperti yang saudara dan saudari sedia maklum, pada 1 September 2021, dalam ucapan sulung saya, Lima (5) Inisiatif MANTAP telah saya letakkan sebagai landasan agensi Islam. Inisiatif ini bersifat tindakan, “programme oriented” dan terus ke lapangan untuk membantu masyarakat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Untuk tujuan itu, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah membangunkan Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani COVID-19 (PIAGAM C-19) yang melibatkan semua agensi Islam di bawah portfolio Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), seperti berikut:

Inisiatif 1: Pemantapan mental, jasmani dan rohani
Inisiatif 2: Pemantapan sistem pendidikan Islam
Inisiatif 3: Pemantapan insititusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam
Inisiatif 4: Pemantapan institusi masjid dan surau
Inisiatif 5: Pemantapan sosio-ekonomi ummah

Semoga laman ini menjadi gerbang informasi mengenai gerakerja Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) bersama 14 buah agensi hal ehwal Islam.

Saya turut mengalu-alukan penglibatan saudara dan saudari untuk menyampaikan sebarang pandangan dan maklumbalas membina agar kami dapat meningkatkan lagi sistem penyampaian perhidmatan di agensi-agensi hal ehwal Islam.

Sekian. Siiru ‘Ala Barakatillah. Wassalam.

YB Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)