DURIAN TUNGGAL, 28 - 30 JUN 2024 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah menganjurkan Program R.I.S.E Camp (Remaja Islam Sentiasa Excellent) selama 3 hari 2 malam dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka (JKMNM) dan Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM).
Majlis Penutupan RISE CAMP Melaka telah diadakan pada 30 Jun 2024 (Ahad) yang disempurnakan oleh YBrs. Puan Noor Haliza binti Ali (KPP Bahagian KSK JAKIM) mewakili YBrs Tuan Pengarah KSK. Turut hadir sama iaitu YBrs. Tuan Muhamad Sayuti bin Omar (KPP JAIM), YBrs. Puan Halyjah binti Muhamad (Pengarah JKMNM) dan Encik ‘Ammar bin Zulkiflee (YIM). Seramai 32 orang remaja juvana daripada kategori Perintah Bengkel Interaktif dan Perintah Khidmat Masyarakat telah mengikuti program ini yang diadakan bertempat di Resort Agrofarmstay, Durian Tunggal, Melaka.
Penganjuran R.I.S.E Camp ini amat bertepatan dengan objektif program sebagai salah satu usaha berterusan oleh pihak JAKIM bersama rakan strategik bagi membantu dan membimbing komuniti juvana agar dapat menjauhkan diri dari terjerumus dalam aktiviti yang merosakkan masa depan mereka dengan mengutamakan pemulihan kerohanian dari aspek akidah, ibadah dan akhlak serta elemen psikospiritual Islam.
Pelbagai aktiviti interaktif dan gamifikasi telah dijalankan dalam slot-slot utama antaranya Slot Paksi Keimanan (Akidah), Slot Smart Solat (Ibadah), Slot The Power of Adab (Akhlak) dan Slot Ma’rifatun Nafs (Psikospiritual Islam) yang dikendalikan oleh urus setia JAKIM bersama fasilitator terlatih. Peserta turut menjalani aktiviti riadah berkonsep dan pelbagai akitiviti luar sepanjang program 3 hari berlangsung.
Semoga program ini memberi manfaat dan kesedaran kepada semua peserta sebagai panduan hidup di masa hadapan tertutamanya berkaitan elemen kerohanian, demi kecemerlangan diri, keluarga dan masyarakat.