GEORGETOWN, 2 – 4 OGOS 2024 – Alhamdulillah telah berlangsung program Kem Bimbingan Spiritual pada 2 hingga 4 Ogos 2024 di Hotel Vouk, Georgetown, Pulau Pinang.
Program ini merupakan anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menerusi Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM dan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melibatkan 40 orang peserta dalam kalangan komuniti hijrah dari Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis.
Majlis perasmian Kem Bimbingan Spiritual telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM. Ia turut dihadiri Puan Noor Haliza binti Ali, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, Puan Raudhah binti Kursus @ Othman, Ketua Unit Dakwah, Yayasan Taqwa MAIWP dan Dr. Mohd Izwan bin Md Yusof, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM sebagai penyelaras program bersama.
Para peserta telah diberikan bimbingan dan pengisian berdasarkan pendekatan psikospiritual Islam oleh Ustaz Azki Hafizi bin Ibrahim, Pengarah Urusan Smart Triple IQ Consultant bersama 3 orang fasilitator.
Para peserta juga turut mendapat pengisian berkenaan isu HIV oleh Dr Janizah binti Abdul Ghani, Ketua Cawangan Unit HIV/STI dan Hep C, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dan topik berkenaan istiqamah dalam penghijrahan oleh Dr Mohd Nizam Sahad yang mewakili Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.
Adalah diharapkan Kem Bimbingan Spiritual ini mampu menjadi platform terbaik sebagai pemangkin perubahan kepada para peserta dalam menjalani kehidupan yang lebih baik dan sejahtera menurut tuntutan Syariat.