Kurator Berita : Darul Quran
28 Februari 2025 – Darul Quran telah mengadakan lawatan tapak ke Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) Nibong Tebal bagi membincangkan serta mewujudkan kerjasama dalam pelaksanaan Program Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB).

Delegasi Darul Quran yang diketuai oleh Pengarah Darul Quran, YBrs. Tuan Haji Mohd Ansarullah Bin Mohd Hashim, bersama beberapa pegawai kanan Darul Quran telah disambut mesra oleh Pengarah PERDA-TECH, YBrs. Tuan Haji Zolkhifli Bin Mohamed, serta pegawai pengurusan dan tenaga pengajar institut tersebut.

Lawatan ini merupakan langkah susulan bagi merealisasikan hasrat PERDA-TECH untuk menjadi Pusat Pembelajaran Bertauliah (PBB) bagi SPHB. Perbincangan yang diadakan menumpukan kepada peluang kolaborasi antara kedua-dua institusi dalam menawarkan program SPHB, yang menggabungkan elemen kemahiran hafazan al-Quran dengan kemahiran teknikal dan vokasional.

Kerjasama ini dijangka memberi manfaat besar kepada pelajar tahfiz selaras dengan usaha Kerajaan untuk mengiktiraf para huffaz di Malaysia. Selain itu, delegasi Darul Quran turut dibawa melawat kemudahan yang terdapat di PERDA-TECH, termasuk bengkel latihan, makmal teknologi, dan fasiliti pengajaran. Lawatan ini memberikan gambaran jelas mengenai keupayaan PERDA-TECH dalam menyediakan latihan kemahiran kepada pelajar yang bakal mengikuti program SPHB.

Usaha ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kepada pelajar tahfiz untuk membangunkan kemahiran tambahan dan meningkatkan daya saing mereka dalam bidang industri tanpa mengetepikan penguasaan hafazan al-Quran.


Darul Quran Lawat Tapak PERDA TECH Nibong Tebal 01

Darul Quran Lawat Tapak PERDA TECH Nibong Tebal 03

Darul Quran Lawat Tapak PERDA TECH Nibong Tebal 04

Darul Quran Lawat Tapak PERDA TECH Nibong Tebal 05

Darul Quran Lawat Tapak PERDA TECH Nibong Tebal 06

Darul Quran Lawat Tapak PERDA TECH Nibong Tebal 07