Judul: Tadabbur Kalamullah 6 Syawal 1441H - Tentera Allah Dan Pertolongannya
Kategori: Artikel
 TADABBUR KALAMULLAH 6 SYAWAL 1441H
TENTERA ALLAH DAN PERTOLONGANNYA
 
 
 
وَلِلَّهِ جُنُودُ ٱلسَّمَـٰوَ ٰتِٱلۡأَرۡضِۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِیزًا حَكِیمًا
 
"Dan Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menyeksa orang-orang yang derhaka); dan Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" [Surah al-Fath 7]
 
Allah swt memiliki bala tentera yang sangat banyak di langit dan di bumi, yang dengan mereka Allah swt menolong hamba-hambaNya dan juga menyeksa orang-orang yang derhaka.
 
 
Menurut Imam ar-Razi rahimahullah: "Tentera Allah boleh menjadi “tentera rahmat” dan “tentera azab” kepada manusia. Ketika datang membantu orang beriman ia menjadi pengawal peribadi atau perisai rahmat, manakala ketika datang menerjah musuh Allah ia menjadi pembunuh ganas atau senjata tajam.
 
 
إِذۡ یُوحِی رَبُّكَ إِلَى ٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ أَنِّی مَعَكُمۡ فَثَبِّتُوا۟ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ۚ سَأُلۡقِی فِی قُلُوبِ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ ٱلرُّعۡبَ فَٱضۡرِبُوا۟ فَوۡقَ ٱلۡأَعۡنَاقِ وَٱضۡرِبُوا۟ مِنۡهُمۡ كُلَّ بَنَانࣲ
 
"(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka".
[Surah al-Anfal 12]
 
Kesemua tentera Allah ini melaksanakan tugasan mengikut aturan dan arahan Allah swt. Antara tentera Allah ialah:
 
  1. Para Malaikat.
  2. Matahari, di mana ia pernah berhenti seketika (lambat terbenam) ketika membantu perjuangan seorang nabi (bani Israel).
  3. Api pernah bertukar sejuk, nyaman dan menyelamatkan nabi Ibrahim Alaishissalam.
  4. Laut pernah membantu nabi Musa Alaihissalam dan Bani Israel ketika mereka melarikan diri daripada buruan Firaun.
  5. Burung Ababil daripada berbagai kelompok dan arah pernah merejam batu kepada tentera bergajah ketika mereka mahu musnahkan Kaabah.
  6. Belalang, kutu, katak, darah pernah menyerang Firaun dan para pengikutnya.
  7. Air, yang memusnahkan dan melenyapkan penentang Nabi Nuh Alaihissalam.
  8. Angin, yang dahsyat beserta guruh dan halilintar menghancurkan kaum 'Aad dan Tsamud.
  9. Angin taufan dan hujan batu yang menjahanamkan kaum Luth yang terlibat dengan liwat.
  10. Hujan penghilang dahaga, pembersih jasad dan membuatkan mengantuk menjadi tentera penenang umat Islam sebelum perang Badar.
  11. Rasa gerun dan gentar turut menjadi tentera Allah. Dengar sahaja kemaraan tentera Muslimin, musuh terus kecut perut.
  12. Pejuang-pejuang Islam dari kalangan kaum muslimin.
  13. Virus yang menghuru-harakan kehidupan manusia.
 
Memahami ayat-ayat Allah swt berkaitan tentera-tenteraNya ini sangat penting bagi mengenal Tuhan sekalian alam yang berkuasa Mutlak mengarahkan semua tenteraNya samada untuk membantu pejuang-pejuangNya atau membinasakan penderhaka-penderhaka yang menentangNya. Jika satu tenteraNya pun kita tidak mampu hadapi maka usahlah berangan hendak melawan Allah, Pemilik segala kuasa dan tentera. Usahlah melawan Allah atau barisan tenteranya, sebaliknya kita wajib mendaftar diri menjadi tentera Allah dan hambaNya dengan patuh melaksana segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya.
 
 
Ingatlah bahawa kerajaan langit dan bumi serta semua tentera yang ada pada keduanya adalah milik Allah swt. Allahlah yang memberi pertolongan dan yang memberi kehinaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Ketahuilah bahawa tentera Allah sentiasa beroleh pertolonganNya.
 
وَإِنَّ جُندَنَا لَهُمُ ٱلۡغَـٰلِبُونَ
 
"Dan bahawasanya tentera Kami, merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran)" [Surah as-Saaffat 173]
 
Sehebat dan sekuat mana pun manusia, tetap tidak mampu menandingi kuasa Allah swt dan tentera-tenteraNya. Ikutilah segala apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan jangan sesekali angkuh mencabar kekuasaan Allah. Banyakkan amal ibadat, jauhi dosa dan maksiat agar kita selamat daripada kebinasaan dan bahagia dunia akhirat.