Judul: Di Sebalik Banjir Yang Menyatukan Rakyat Malaysia
Kategori: Artikel
Banjir besar yang luar biasa berlaku pada pertengahan Disember yang lalu di beberapa kawasan di Negeri Selangor telah memusnahkan banyak harta benda, sama ada ia milik persendirian mahupun awam. Banyak infrastruktur yang rosak, manakala keadaan alam juga berubah. Dinyatakan bahawa kerosakan yang berlaku melibatkan kerugian sekitar RM15 bilion. Iaitu satu jumlah yang amat besar.

Bukan sahaja memusnahkan harta benda, bahkan tragedi ini telah mengorbankan nyawa manusia. Kerosakan harta benda dan kehilangan ahli keluarga yang tersayang sudah tentu menyebabkan perasaan yang amat sedih. Tidak mustahil sekiranya ia menjadi kesedihan yang berpanjangan dan mengakibatkan kemurungan kepada mereka yang terkesan.

Sejarah telah menyaksikan bahawa rakyat Malaysia telah pun dikenali sebagai masyarakat yang mudah menghulurkan bantuan apabila berlaku sebarang bencana. Amalan tolong-menolong ini memang sudah menjadi amalan kita sejak zaman-berzaman dan sudah tentu sebagai sebahagian daripada bangsa Malaysia kita amat berbangga dengan budaya yang kita miliki ini. Sikap ini merentas kaum, latar belakang dan negeri.

Sikap saling peduli dan tolong-menolong adalah amalan mulia yang amat digalakkan oleh agama Islam sebagaimana firman Allah dalam ayat kedua Surah al-Maidah, yang antaranya bermaksud: "Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.”

Dalam realiti kehidupan bermasyarakat dengan pelbagai latar belakang sebagaimana situasinya di Malaysia, tidak dinafikan terdapat sedikit isu halal haram yang berlaku ketika masyarakat setempat berusaha untuk membantu mangsa-mangsa banjir. Contohnya berkaitan dengan penyediaan makanan halal oleh kalangan yang bukan beragama Islam. Walau bagaimanapun penulis menganggap ia pengalaman berharga yang boleh memberi pengajaran buat kita semua. Orang bukan Islam di Malaysia penulis kira semakin memahami tentang penyediaan makanan halal untuk orang Islam. Bukan sekadar bahan-bahan masakan itu halal bahkan juga tentang cara penyediaannya.

Selain itu banjir besar 2021 ini akan terus menyimpan pelbagai memori tentang kesungguhan rakyat negara ini membantu antara satu sama lain. Contohnya tentang kisah seorang pemuda yang sanggup memohon cuti kecemasan, membawa botnya demi membantu mangsa banjir di Selangor; pemuda Melayu yang menyelamatkan sekumpulan anjing daripada tenggelam dan lemas; anak muda India yang sama-sama membersihkan sebuah masjid, dan kemudiannya sekumpulan pelajar universiti mencuci sebuah kuil; dan kisah masjid-masjid yang membuka pintu dan menawarkan perlindungan kepada masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang agama.

Teringat penulis bagaimana media luar dan personaliti dari luar negara membuat ulasan dan berkongsi pengalaman yang dilalui oleh rakyat Malaysia secara bersama ketika awal-awal kerajaan melaksanakan Movement Control Order pada tahun 2020.

Ketika Kelantan dilanda banjir yang luar biasa pada tahun 2014, maka banyak team dari negeri-negeri lain termasuk dari Selangor datang menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk termasuklah dari segi tenaga. Apabila daerah-daerah tertentu di Selangor pula mengalami bencana yang tidak disangka, bantuan kepada mangsa-mangsa banjir datang dari pelbagai arah Semenanjung Malaysia sama ada daripada agensi-agensi kerajaan negeri, NGO dan orang perseorangan. Satu demi satu konvoi bergerak ke daerah-daerah yang terkesan dan perkara ini dapat dilihat di media-media sosial dan forum-forum sosial.

Walau bagaimanapun di satu sisi yang perlu dilihat kita semua ialah, tindakan untuk membantu mereka yang terkesan perlulah dibuat secara sistematik supaya tiada berlaku keciciran atau pembaziran. Mungkin ada baiknya pihak-pihak yang menawarkan bantuan atau orang tengah yang menyampaikan bantuan tersebut daripada penyumbang memikirkan tindakan yang efektif untuk tahap pascabanjir.

Pandangan daripada bekas mangsa banjir mungkin boleh diambil perhatian dalam menguruskan situasi pascabanjir. Dalam keadaan rumah dan premis yang terlibat perlu dibersihkan daripada selut dan lumpur dengan banyak barang rumah yang rosak dan tidak dapat diselamatkan, penulis beranggapan barang-barang bantuan seperti makanan kering perlu menunggu giliran atau masa sebelum dapat dimasukkan ke dalam rumah dan dapat dimanfaatkan.
Ketika penulis bertanyakan seorang sahabat yang aktif membantu mangsa-mangsa banjir di Shah Alam sekiranya mereka perlukan pakaian terpakai, beliau menyatakan bantuan pakaian sudah sangat banyak. Sebaliknya bantuan yang diperlukan pada ketika itu ialah wang untuk membantu mangsa-mangsa banjir mendobi pakaian mereka kerana kemudahan untuk mencuci pakaian di rumah sendiri sudah tiada. Begitu juga dengan perkongsian seorang bekas mangsa banjir yang menyebutkan bahawa ada ketikanya dia melihat bantuan pakaian seolah-olahnya hanya bertujuan untuk membersihkan almari baju penyumbang.

Pada ketika artikel ini ditulis agensi-agensi kerajaan sudah mempergiatkan tindakan membersihkan persekitaran rumah-rumah mangsa yang penuh dengan timbunan sampah dan barang-barang rumah yang tidak dapat diselamatkan. Suasana kotor dan busuk boleh mengundang masalah lain sekiranya perkara ini tidak cepat diuruskan oleh pihak berkuasa. Tidak semua orang mempunyai pengetahuan atau kesedaran bahawa banjir juga membawa risiko kepada penyebaran penyakit. Sebelum perkara ini berlaku dan menimpa mangsa, sesuatu perlulah dilakukan untuk mengelakkan mereka daripada terkena penyakit-penyakit berjangkit.

Ada perkara yang boleh dibuat dengan bantuan sesama rakyat, tetapi ada hal-hal yang memang berada di bawah pengurusan pihak-pihak berkuasa, agensi kerajaan negeri dan juga pusat seperti pelupusan sampah dan barang-barang rumah yang telah rosak. Di sinilah kerjasama yang erat antara kerajaan, badan bukan kerajaan, rakyat dan pihak mangsa sendiri amat diperlukan. Semoga rakyat Malaysia terus bersatu dalam suka dan duka.


Oleh:
Siti Shamsiah binti Md Supi
Pegawai Penyelidik Kanan
Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)