Judul: Amalan Persijilan Halal
Kategori: Buku
Harga: RM18.00
Sinopsis:
Dalam Islam, halal dan haramnya sesuatu bukan sekadar dilihat pada adanya penetapan syarak semata-mata. Alasan-alasan yang rasional juga diambil kira demi kemaslahatan manusia. Baik buruknya daripada apa yang ditetapkan melalui halal dan haram kadangkala telah berjaya dibuktikan oleh sains moden. Oleh kerana itu, Islam tidak menghalalkan kecuali yang baik dan tidak mengharamkan kecuali yang buruk dan kotor. Kedua-duanya akan memberi kesan yang bertentangan terhadap pertumbuhan dan pembentukan manusia. Keharusan perkara yang baik ialah sebagai penghormatan terhadap manusia, manakala mengelakkan daripada perkara yang diharamkan (buruk) ialah untuk menjaga kesihatan dan menjauhkan kerosakan pada tubuh badan, akal serta keturunan insan.

Dalam tulisan ini, syariah akan diletakkan sebagai kayu ukur utama dalam pelaksanaan pensijilan halal dan beberapa keputusan fatwa semasa yang diputuskan oleh pihak berautoriti. Kajian ini akan memberi tumpuan kepada agensi yang melaksanakan pensijilan halal di Malaysia, iaitu JAKIM sebagai sandaran untuk mengkaji aspek operasi. MAIN dan JAIN terlibat secara tidak langsung memandangkan setiap institusi ini mengeluarkan sijil halal di negeri masing- masing. Begitu juga badan-badan pensijilan luar negara yang dilantik dan dilihat sebagai perbandingan.

Kajian ini juga merujuk kepada sistem-sistem kualiti lain seperti The International Standardization for Organization (ISO), Hazard Analysis and Critical Control Point System (HACCP) dan General Principles of Hygiene (GPFH). Sistem jaminan halal seperti Guidelines on Halal Assurance System (HAS) yang digunapakai di negara-negara lain juga boleh diserapkan dalam sistem ini. Sistem yang tersusun dapat mengatasi isu-isu halal yang seringkali menakutkan pengguna muslim dan mengganggu kelancaran perniagaan di pasaran. Hal ini seringkali dikemukakan oleh persatuan-persatuan pengguna di negara ini.

Tulisan ini cuba untuk mengkaji dan menilai Perlaksanaan Sistem Pensijilan yang diamalkan oleh JAKIM. Di sebalik operasi tersebut, syariah dan institusi fatwa ialah pendokong utama yang menentukan integriti jaminan halal dalam pensijilan. Kajian ini juga melihat peranan JAKIM yang melibatkan operasi pensijilan halal di peringkat antarabangsa.