Judul: Kedudukan Orang Bukan Islam Dalam Sejarah Pemerintahan Islam
Kategori: Buku Jualan
Harga: RM10.00
Sinopsis:
  • Sebagai sebuah negara yang majmuk, maka suatu usaha merapatkan hubungan antara kaum seharusnya dilakukan segera dalam semangat itu. Bidang pendidikan, dakwah dan media adalah antara bidang-bidang yang terbuka luas dan berkesan untuk diterokai.
  • Buku kecil ini cuba menjelaskan kepada pembaca bagaimana hubungan antara kaum dalam sesebuah masyarakat majmuk itu seharusnya berlaku berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan hak dan tanggungjawab masing-masing seperti yang telah dibincangkan para ulama'. la sengaja diolah dengan merujuk kepada perjalanan panjang sejarah pemerintahan Islam sejak zaman Rasulullah S.A.W. yang bermula di negara Madinah (622-632 M.) sehingga ke saat akhir kejatuhan Kerajaan Islam 'Uthmaniyyah, Turki, pada tahun 1924 M. sebagai modulnya. Justeru itu, kita dapat melihat bagaimana sejarah umat Islam itu sendiri yang mewarnai hubungan ini. Kedudukan ini adalah sangat besar ertinya dan ia perlu digarap serapinya oleh pelbagai pihak, terutamanya ulama' dan umara, sebagai sebahagian dari usaha mereka untuk meredakan ketegangan yang ada dalam masyarakat Malaysia hari ini.
  • Dalam buku ini juga, dipaparkan beberapa insiden atau isu panas di mana berlaku pertentangan pendapat dalam kalangan fuqaha' dan gaya aplikasinya dalam kehidupan masyarakat yang dilakukan oleh para umara' semasa pemerintahan mereka dengan mengambil kira keadaan semasa, kebajikan dan kesentosaan masyarakat serta berpandukan kepada kaedah-kaedah maslahah, siyasah syar'iyyah dan sadd al-dhari'ah dan lain-lain.
  • Paparan ini ada kaitannya dengan perkembangan semasa di negara kita ini yang berorentasikan Satu Malaysia. Paparan ini juga memberi panduan kepada para ulama' dan umara' apabila mereka menghadapi isu-isu yang sensitif atau kontroversi, apa yang sewajarnya mereka lakukan dan apa pula sikap yang perlu diambil agar ia tidak menjadi ketegangan antara kaum.
  • Apakah mereka perlu bersikap toleransi atau tasamuh demi kebajikan ummah yang suatu elemen berbilang kaum, demi kestabilan politik dan masa depan negara?