KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKAITAN

ISU DAGING SELUDUP

Kerajaan Malaysia telah menetapkan bahawa pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada abatoir/loji pemprosesan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan JAKIM. 
 
Daging dan produk daging yang diimport masuk perlu pengesahan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM. Pengimport juga perlu mengemukakan bersama sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport dan kelulusan permit import dari pihak MAQIS sebelum daging dan produk daging tersebut dibenarkan masuk kepasaran negara ini.
 
JAKIM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi yang melaksanakan operasi  bersepadu perihal dagangan halal yang dipercayai digunakan sindiket penyeludupan masuk daging sejuk beku iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya dan Johor, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
 
JAKIM komited untuk memberikan kerjasama kepada semua agensi penguatkuasa dan menyeru orang awam untuk terus menyalurkan sebarang maklumat  berkaitan isu-isu penyalahgunaan logo halal.
 
Sekian, terima kasih
 

Datuk Abdul Aziz bin Jusoh
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
18 Rabiulakhir 1442H
04 Disember 2020