KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

ISU DAGING SELUDUP

Merujuk kepada artikel isu berkaitan daging seludup yang disiarkan dalam akhbar tempatan, sekali lagi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin menegaskan bahawa kes ini masih dalam siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Justeru, semua pihak dinasihatkan supaya tidak memberi sebarang ulasan dan pandangan yang boleh menjejaskan kredibiliti kes. Perkara ini secara tidak langsung boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan boleh menjejaskan pengimport dan pengusaha industri daging negara yang telah mendapat pengesahan halal yang sah. Sebarang komentar yang tidak disertakan dengan bukti yang kukuh boleh menyebabkan timbulnya isu lain yang dikhuatiri menjejaskan kepercayaan terhadap pensijilan halal Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa. 
 
Kerajaan Malaysia telah menetapkan bahawa pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada abatoir/loji pemprosesan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan JAKIM. Daging dan produk daging yang diimport masuk perlu pengesahan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM. Pengimport juga perlu mengemukakan bersama sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport dan kelulusan permit import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sebelum daging dan produk daging tersebut dibenarkan masuk ke pasaran negara ini.
 
Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai isu penyeludupan daging dan penyalahgunaan kuasa hendaklah melaporkannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan. Sehubungan itu, dimohon semua pihak untuk menghormati proses tindakan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dan semoga pihak yang bertanggungjawab dalam kes ini dapat dibawa ke muka pengadilan sewajarnya. 
 
Sekian, terima kasih.
 
DATUK ABDUL AZIZ BIN JUSOH
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
23 Disember 2020