LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

PELANTIKAN YBHG. DATUK ABDUL AZIZ BIN JUSOH SEBAGAI KETUA PENGARAH JAKIM BERKUATKUASA 15 JANUARI 2021

Bil.2/2021

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin memaklumkan bahawa YBhg. Datuk Abdul Aziz bin Jusoh telah dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKIM berkuatkuasa 15 Januari 2021. Surat pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah JAKIM telah disampaikan oleh YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di pejabat beliau pada pagi ini. Pelantikan ini bagi menggantikan Ketua Pengarah sebelum ini iaitu Allahyarham Dato’ Paimuzi bin Yahya yang telah kembali ke rahmatullah pada 8 Oktober 2020.

  2. YBhg. Datuk Abdul Aziz bin Jusoh sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM merupakan anak kelahiran negeri Kelantan Darul Naim. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1985) dan memiliki Sijil Kaunseling dan Pengurusan Agama dari Muslim College London (2003).

  1. Beliau berpengalaman sebagai penjawat awam lebih dari 34 tahun apabila mula menyertai skim perkhidmatan Pegawai Hal Hal Ehwal Islam pada tahun 1986 sebagai Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri. Beliau juga pernah diberi kepercayaan untuk berkhidmat di luar Negara sebagai Pegawai Agama di Kedutaan Besar Malaysia, Tokyo, Jepun pada tahun 1997 dan Atase Agama di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia pada tahun 2009 hingga 2013. Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah di Bahagian Agama dan Kaunseling, Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia, Bukit Aman.

  2. Sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM pada 1 April 2020, beliau banyak menabur bakti di luar ibu pejabat JAKIM. Antaranya sebagai Pengarah JAKIM Cawangan Sarawak pada tahun 2013 hingga 2017, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada tahun 2017 hingga 2018 sebelum diberi kepercayaan menerajui Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bermula 20 April 2018 hingga 31 Mac 2020.

  3. JAKIM ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada pihak kerajaan atas kepercayaan yang diberikan kepada YBhg. Datuk Abdul Aziz bin Jusoh bagi menggalas tugas dan amanah sebagai Ketua Pengarah JAKIM bermula 15 Januari 2021.

Sekian, terima kasih.

HAJI ZAKARIA BIN OTHMAN
Ketua Unit Komunikasi Korporat JAKIM
15 Januari 2021