LOGO JAKIM small
 
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
BERKENAAN
SKUAD KEMBARA AL-AMIN
MENYANTUNI FOOD RIDER PUTRAJAYA

Bil.11/2021
  1. Sempena program Kembara Al-Amin Ramadhan 1442H/2021M mulai 1 hingga 30 Ramadan 1442H, Skuad Kembara Al-Amin hari ini mengambil inisiatif untuk menyantuni rakan Food Rider Putrajaya yang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Abdul Aziz bin Jusoh, Ketua Pengarah JAKIM.
  2. Kembara Al-Amin Ramadhan merupakan sebuah jenama program digital anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) yang disiarkan menerusi media sosial rasmi JAKIM dan PPZ MAIWP. Program yang mempunyai 13 segmen ini secara umumnya bertujuan mengajak masyarakat sama-sama menghayati pengisian bulan Ramadhan menerusi media sosial. Program ini telah dilancarkan oleh YB Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 13 April 2021M bersamaan 1 Ramadhan 1443H.

  3. Salah satu segmen yang terdapat dalam program Kembara Al-Amin Ramadhan ialah Skuad Kembara Al-Amin yang disertai oleh kumpulan sukarelawan yang terdiri daripada pertubuhan Geng Surau Putrajaya. Skuad ini ditugaskan dalam membantu menyantuni kumpulan yang memerlukan seperti golongan asnaf, B40, petugas barisan hadapan dan lain-lain sepanjang bulan Ramadhan ini. Skuad ini membantu menyampaikan sumbangan berupa pek makanan kering, juadah berbuka puasa, bubur lambuk dan lain-lain yang disumbangkan oleh JAWI Food Bank, Syarikat F&N dan pihak-pihak lain.

  4. Sebanyak empat siri program menyantuni masyarakat telah dirancang dimulai dengan program menyantuni rakan Food Rider di sekitar Putrajaya pada hari ini. Food Rider dipilih sebagai kumpulan sasar mewakili golongan B40 selain sebagai bentuk ingatan kepada mereka di bulan yang mulia ini. Selain Food Rider, petugas barisan hadapan, masyarakat Orang Asli dan gelandangan turut akan disantuni oleh Skuad Kembara Al-Amin.

  5. JAKIM berharap, program seumpama ini dapat membantu pihak kerajaan dalam merealisasikan budaya prihatin dalam kalangan rakyat Malaysia. Selain itu, program ini juga diharapkan mewujudkan masyarakat yang cakna dan prihatin kepada golongan yang memerlukan selaras dengan falsafah ibadah puasa iaitu merasai keperitan hidup golongan yang susah.

  6. JAKIM menyeru kepada pihak-pihak di luar sana untuk menzahirkan semangat prihatin kepada golongan yang memerlukan dengan sama-sama menyertai JAKIM melalui Skuad Kembara Al-Amin ini. JAKIM bersedia menjalinkan kerjasama bagi merealisasikan pelbagai jenis bantuan untuk disampaikan kepada masyarakat.

  7. Sehubungan itu, dimohon jasa baik pihak media untuk membuat hebahan dan liputan bagi penganjuran program ini.

 
Sekian, terima kasih.
 
“PRIHATIN RAKYAT : DARURAT MEMERANGI COVID-19”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
 
Saya yang menjalankan amanah,
 
(HAJI ZAKARIA OTHMAN)
Ketua Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
17 April 2021