LOGO JAKIM small
 
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

PENANGGUHAN MAJLIS TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN (MTHQK) BAGI TAHUN 1442H/2021M

Bil.15/2021

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin memaklumkan bahawa atas persetujuan YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1442H/2021M, bahawa MTHQK yang dijadualkan pada 13 hingga 18 Jun 2021 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) akan ditangguhkan sehingga ke satu tarikh dalam tahun ini juga yang akan dimaklumkan kelak.
 
2. Penangguhan ini dibuat selaras dengan keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula pada 12 Mei 2021 hingga 7 Jun 2021 seperti yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri.
 
3. Keputusan ini juga adalah wajar dengan mengambil kira situasi pandemik COVID-19 semasa di samping kekangan masa serta keterbatasan pergerakan jawatankuasa-jawatankuasa dalam melaksanakan kerja-kerja persiapan MTHQK 1442H/2021M di sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP.
 
4. Bagi pihak Jawatankuasa Induk MTHQK, JAKIM ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas komitmen negeri-negeri yang telah membuat persiapan bagi menyertai MTHQK pada tahun ini. Semoga Allah SWT memberi kemudahan kepada semua untuk menjayakan MTHQK di masa akan datang.
 
5. Sehubungan itu, dimohon jasa baik pihak media untuk membuat hebahan mengenai keputusan ini.
 
Sekian, terima kasih.
 
PRIHATIN RAKYAT : DARURAT MEMERANGI COVID-19
BERKHIDMAT UNTUK NEGARA
 
Saya yang menjalankan amanah,
 
DATUK ABDUL AZIZ BIN JUSOH
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
11 Mei 2021