LOGO JAKIM small
 
KENYATAAN
KETUA PENGARAH JAKIM
 
SARANAN KEPADA RAKYAT MALAYSIA UNTUK MENDAFTAR DAN MENGAMBIL VAKSIN COVID-19

BIL. 19/2021
 
Berikutan keadaan pandemik COVID-19 yang semakin hari semakin membimbangkan, JAKIM terpanggil untuk menyeru dan menyarankan seluruh rakyat Malaysia untuk segera mendaftar dan menerima Vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera atau medium-medium lain yang telah disediakan oleh Kerajaan.
 
Seruan ini juga selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri agar pelbagai pihak termasuk agensi agama di peringkat persekutuan dan negeri untuk sama-sama membantu kerajaan dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kepentingan pengambilan vaksin COVID-19.
 
Justeru, orang ramai khususnya umat Islam diseru agar tidak merasa ragu-ragu untuk mengambil Vaksin COVID-19. Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali ke-10 yang dihadiri oleh mufti-mufti negeri dan pakar dalam pelbagai bidang pada 3 Disember 2020 telah memutuskan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus, dan ia wajib diambil golongan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
 
Malahan berdasarkan prinsip Maqasid Syariah, mengambil vaksin adalah salah satu usaha dalam menjaga nyawa yang merupakan suatu kewajipan selain daripada menjaga agama, akal, keturunan dan harta.
 
JAKIM juga ingin menasihatkan segelintir pihak yang kurang bertanggungjawab dalam membuat dakwaan negatif terhadap pengambilan vaksin COVID-19 sehingga menyebabkan masyarakat menjadi ragu dan keliru sekaligus boleh menjejaskan Program Imunisasi Kebangsaan yang sedang berjalan pada ketika ini.
 
Netizen juga disaran agar dapat terus mengoptimumkan platform media sosial dengan menyebarkan informasi yang positif berkaitan vaksin COVID-19 supaya ia menjadi pemangkin kesedaran dalam kalangan masyarakat agar kadar peratusan masyarakat yang mendaftar dan mengambil vaksin terus meningkat.
 
Buat barisan hadapan petugas COVID-19 , kami doakan anda semua terus kukuh dan teguh dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Semoga Allah SWT memberikan ganjaran pahala yang berlipat ganda atas keringat yang telah dikeluarkan.
 
Semoga Allah SWT mengangkat COVID-19 ini dari bumi Malaysia khususnya dan dari muka bumi ini secara amnya agar seluruh umat manusia dapat kembali mengecapi kehidupan seperti sediakala.
 
Sekian.
 
Datuk Abdul Aziz bin Jusoh
Ketua Pengarah JAKIM
26 Mei 2021